KOTA BHARU - Seorang guru wanita fardhu ain maut dipercayai akibat diserang semasa dalam perjalanan pagi semalam dari rumah ke pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Kampung Sat Hilir di Tanah Merah bagi urusan pinjaman.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa Rafiah Salim, 54, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.49 malam tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Mangsa sebelum itu ditemui seorang pengadu, selepas mangsa dicampak keluar dari sebuah kenderaan di persimpangan kampung dan mangsa terus dibawa ke Hospital Tanah Merah pada pukul 10.30 pagi.

"Keadaan mangsa ketika ditemui dalam berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dan selepas dirujuk ke HUSM, mangsa didapati mengalami bengkak di bahagian belakang badan, benjol di bahagian belakang kepala dan luka serta terdapat pendarahan," kata Mazlan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumah ke pejabat Amanah Ikhtiar itu bagi urusan pinjaman.

"Mangsa merupakan seorang guru fardhu ain dan ahli Amanah Ikhtiar malah mangsa yang tinggal di Kampung Lemal, Pasir Mas sering berulang alik dari rumah ke tempat tersebut dengan menaiki kereta prebet sapu (teksi haram)," katanya.

Beliau berkata polis mengklasifikasi kes itu sebagai kes bunuh dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Buat masa ini kita tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan," katanya.
Mazlan turut menasihati orang ramai supaya tidak mengikuti sesiapa sahaja yang tidak dikenali kerana khuatir ia boleh membahayakan diri.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu anak mangsa, Muhammad Saiful Zainal Abidin, 30, ketika ditemui di HUSM berkata, ibunya seorang yang sangat aktif dengan persatuan setempat dan juga pergerakan Wanita Umno di Lemal, Pasir Mas.

"Malam, (sehari) sebelum kejadian, ibu menghadiri mesyuarat persatuan dan hanya mendiamkan diri ketika pulang sebelum tidur bersama cucunya.

"Kebiasaannya, ibu saya akan menghubungi salah seorang daripada kami lima beradik untuk mengambil atau menghantarnya, tetapi semalam dia pergi tanpa memberitahu sesiapa," katanya. - Bernama