Tun Daim: 'Uji Najib, berikan beliau mandat'
24 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menyatakan
Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan tugasnya dengan begitu baik dan
patut diberikan mandat untuk menerajui negara dan meneruskan dasar-dasar
transformasi beliau.
Menggesa pengundi agar memberi peluang kepada Najib untuk lima tahun
lagi, veteran Umno itu berkata: "Uji beliau. Berikan beliau mandat.
Beliau telah melakukan tugasnya dengan begitu baik. Biar beliau
melaksanakannya dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau."
Dalam wawancara dengan New Sunday Times, Daim menyatakan yang beliau
lebih suka sekiranya Najib menang berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang beliau sifatkan sebagai bukan calon yang tepat untuk menjadi
perdana menteri.
"Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan
pilih Najib. Saya akan beri Najib peluang. Beri beliau mandat dan lihat
sama ada beliau dapat melakukannya kerana Anwar telah pernah diberi
peluang itu, tetapi beliau mensia-siakannya.
"Saya mahu Najib menang kerana saya berpendapat Anwar bukan calon yang tepat untuk menjadi perdana menteri," katanya.
"Saya percaya beliau akan kucar-kacirkan negara dengan mendapatkan
nasihat daripada pihak seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Bank
Dunia dan Wolfowitz (Paul Wolfowitz, bekas presiden Bank Dunia),"
katanya.
Daim, yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan sebagai
Menteri Tugas-tugas Khas pada 1998 sebelum dilantik semula sebagai
Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, berkata adalah bahaya jika
pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara.
"Saya bimbang kerana beliau tidak arif mengenai ekonomi, sentiasa
perlukan orang lain untuk beritahu beliau -- apa yang perlu difikirkan
dan apa yang perlu dilakukan," katanya.
Setakat ini, katanya, tidak ada satu pun idea signifikan datang
daripada Anwar selaku penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor. Lebih
teruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air, yang telah
mengecewakan kalangan pemaju perumahan, pelabur dan rakyat.
"Kenapa beliau (Anwar) tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan
dan Kedah jika Pakatan percaya beliau bagus? Fikirkannya secara serius.
Fikirkan masa depan kita," katanya.
Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi perdana menteri akan datang, Daim berkata: "Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia."
Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi perdana menteri akan datang, Daim berkata: "Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia."
Daim berkata beliau akan menyokong Najib tetapi perdana menteri perlu
berusaha memerangi rasuah dan jenayah, memperkukuhkan keselamatan negara
dan menyemak semula sistem pendidikan.
Beliau berkata Najib juga perlu merombak Kabinet.
"Bawa masuk muka-muka baharu. Rakyat berpendapat beliau mengekalkan
terlalu banyak "orang lama" dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah
melepasi "tarikh luput"," katanya.
Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan
datang, Daim, yang ramalannya sering menjadi perhatian, berkata BN boleh
menang tetapi perlu ada perpaduan dalam kalangan parti gabungan.
"Umno mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA, kira-kira satu juta dan
MIC, kira-kira 600,000. Itu sahaja sudah kira-kira separuh daripada
pengundi.
"Kini, anda hanya perlukan mendapatkan sokongan daripada golongan atas
pagar, dengan itu anda mampu menang. Tetapi BN perlu letakkan
calon-calon terdiri muka baharu dan bersih yang diterima oleh pengundi,"
katanya.
Daim berkata sekiranya BN tidak bersatu, kedudukan pakatan pembangkang
akan menjadi lebih baik sepertimana yang berlaku pada 2008.
"Kekal bersatu, setia dan jangan sabotaj. Kita perlukan 'tangan' yang
mantap dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman itu.
"Kita telah berjaya mengharungi krisis demi krisis, dan kembali pulih
dengan cepat. Kita perlu beritahu orang China yang kita tidak boleh
melakukan eksperimen. Lihat sahaja Jepun. Lihat di sekeliling kita.
Lihat sahaja Britain.
Kaji apa yang berlaku," katanya. Daim berkata Anwar telah berulang kali menyatakan akan berlaku
demonstrasi ala Arab Spring sekiranya pembangkang kalah dalam pilihan
raya umum akan datang kerana apa yang mereka anggap sebagai "penipuan".
"Beliau (Anwar) telah mewujudkan pentas untuk mewajarkan kekalahan
mereka sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Pakatan telah menyediakan rakyat supaya mereka boleh menyalahkan
kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Pertamanya, kita bukannya sebuah negara Arab. Dan keduanya, sekiranya
wujud "penipuan" pada pilihan raya umum sebelum ini, bagaimana Pakatan
boleh menang di lima negeri pada 2008?
"Arab Spring telah bertukar menjadi Arab Fall (kerana kalangan pemimpin
tidak bersatu dan kestabilan terjejas)," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment