Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
BATU PAHAT - Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini meminta semua pihak supaya menolak Pengerusi DAP Karpal Singh kerana menyokong pelantikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-13.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata sikap anggota parlimen Bukit Gelugor yang kini dilihat melakukan 'pusingan U' itu jelas bertentangan dengan apa yang beliau ucapkan di Dewan Rakyat sekitar tahun 1997.
  
"Karpal pada masa itu mengkritik Anwar sebagai seorang yang tidak bermoral tetapi kenapa pada hari ini beliau mempertahankan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Sebab itu saya hendak sanggah Karpal.
  
"Kenapa Karpal tidak sokong Ustaz Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Jadi, orang seperti Karpal pun kita kena tolak kerana dia sendiri melakukan 'U Turn'"," katanya kepada pemberita selepas program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Batu Pahat di sini hari ini.
  
Karpal Singh membawa isu aktiviti seks songsang ke Dewan Rakyat pada 22 Oktober 1997 dan mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti (Anwar terlibat dalam kes itu) dan kemudian pada awal 1998 ketika sesi ceramah DAP di Hotel Federal, Karpal Singh sekali lagi mendakwa mempunyai bukti mengenai aktiviti homoseksual.
 
Mohd Puad sehubungan itu menegaskan beliau turut menyokong kenyataan Senator Datuk S.Nallakarupan mengenai Anwar yang tidak layak menjadi Perdana Menteri.
  
Beliau berkata Malaysia amat memerlukan seorang yang berakhlak tinggi untuk menjadi seorang Perdana Menteri dan pelantikan Anwar sudah tentunya akan memusnahkan negara.
  
Sementara itu, mengulas mengenai program Sepakat Komuniti 1Malaysia itu, Anggota Parlimen Batu Pahat itu berkata ia amat penting sebagai elemen mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat.
  
Mohd Puad berkata dalam era teknologi ketika ini, program itu juga dilihat dapat membantu menyampaikan maklumat mengenai usaha kerajaan dengan tepat kepada rakyat sekali gus mengelak fitnah yang cuba ditimbulkan pembangkang.
  
"Di zaman kebebasan media baharu yang tiada etika ini, maka program seumpama ini dapat mewujudkan masyarakat bermaklumat yang bukannya percaya kepada fitnah. Negara akan hancur sekiranya rakyat percaya kepada fitnah," tegasnya.  - Bernama