Isu video seks: Anwar nasihat Umno istighfar
26 Mac 2013
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Umno dan media yang
didukungi parti itu supaya beristighfar dan memohon keampunan ALLAH SWT
susulan laporan media bahawa akan muncul video seks dan foto melibatkan
Ketua Pembangkang itu sendiri dan anaknya, Nurul Izzah, yang juga Naib
Presiden PKR.
"Toksahlah.. saya nak nasihat Umno, ni waktu Maghrib, pi lah amik wuduk dan tau apa itu fitnah.
"Malu kita pada masyarakat bukan Islam kalau masyarakat Islam dan media
yang mendukung Umno ini kerjanya itu sahaja," katanya pada sidang media
selepas Mesyuarat Pimpinan PR, di sini, lewat petang ini.
Pagi tadi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
mendedahkan pihaknya telah dipertontonkan video palsu seks beberapa hari
lalu dipercayai diaturkan oleh pihak tertentu yang mendakwa diri mereka
ejen Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, video tersebut memaparkan watak yang menyerupai Anwar manakala
gambar statik pula seakan-akan anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli
Parlimen Lembah Pantai.
"Video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan
pencantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran
pemimpin-pemimpin ini terbabit dalam salah laku seks.
"... Umno hari ini cuba menakut-nakutkan orang Melayu dan menggunakan
pemblog untuk mereka dan menyebarkan video palsu yang kononnya
memaparkan salah laku seks pemimpin PKR," kata beliau.
Lebih dua minggu lalu seorang pemblog yang dikaitkan dengan Umno
menyebarkan siri gambar seakan-akan menunjukkan Anwar mengadakan
hubungan intim dengan seorang lelaki.
Ekoran tindakan itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR telah menyaman pemblog berkenaan.
Ditanya sama ada hanya dua pemimpin itu sahaja yang menjadi mangsa
spekulasi seks itu, Saifuddin berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim antara sasaran selepas ini, yang akan menerima
nasib yang sama.
"Mereka kata video seks Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pembikinan,"
ujarnya sambil menyatakan imej video yang dirakamkan dalam video dan
gambar itu tidak jelas dan agak kabur.
Dalam pada itu, PR hari ini sebulat suara menolak tawaran 10 minit
kepada parti-parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya
menerusi RTM.
Anwar berkata, tawaran itu seolah memperolokkan sistem demokrasi dan
kebebasan media kerana ia bermakna seolah-olah memberikan 23 jam dan 50
kepada Umno-BN manakala PR hanya diberikan 10 minit.
"Itu belum tentu disiarkan sepenuhnya kerana ia direkod awal.
"Prinsip yang dituntut PR ialah ruang yang adil dan media yang bebas.
Kalau ada semangat yang merujuk ke arah itu, pastinya PR akan berikan
pertimbangan," katanya.
Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Saifuddin dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Pada 22 Mac lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk
Seri Dr Rais Yatim berkata, peluang itu diberikan kepada parti BN dan
juga pihak pembangkang, tetapi pembentangan itu akan dirakam terlebih
dahulu selepas pembubaran Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada PRU13.
"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang
untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit dan kami beri peluang
ini sekaligus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang," katanya.
Anwar berkata, dalam menghadapi PRU13 dalam masa terdekat, PR juga
mengambil keputusan untuk bergerak pantas sebagai pasukan untuk maju
dalam kempen pilihan raya.
Katanya lagi, beberapa program turut telah dirancang di beberapa negeri
dengan menampilkan pimpinan PR seiring untuk menangkis tohmahan dan
fitnah yang giat dilakukan oleh pihak Umno-BN.
Sehubungan itu, katanya, PR akan menganjurkan Forum Lahad Datu oleh
bekas pimpinan tentera dan polis pada 31 Mac jam 8.00 malam di Shah
Alam.
Jelasnya lagi, beberapa program lain turut dirancang pada sebelah pagi untuk memeriahkan sebelum forum itu.
Pada sidang media turut dilancarkan video yang menerangkan polisi utama
PR dan tujuh dasar manifesto PR yang boleh dicapai di
www.pakatan-harapan-rakyat.com.
0 orang berkata:
Post a Comment