Ditembak dan ditetak, wira negara kongsi detik cemas tempur pengganas
26 Mac 2013
PUTRAJAYA - Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir
21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak
berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan hari
ini, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur
demi negara.
"Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang
mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai
cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.
"Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia
sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri," katanya
pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira 'Operasi Daulat' oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.
Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut
dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan
kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul,
Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.
"Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang
cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak
mungkin menyebabkan leher saya putus.
"Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan
diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran,"
katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.
Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang
terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat
diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.
"Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang
untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba,
mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan," katanya.
Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat
melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu
banyak darah yang keluar.
Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.
"Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.
"Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh," katanya.
Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu
diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan. Dua hari
kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang,
Kuala Lumpur pula.
Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang
dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana
baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya
mempertahan kedaulatan negara.
Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam
insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis
itu.
Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.
Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur
dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu. Seorang anggota tentera
terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.
Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk
"Ayahku Seorang Perwira" hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK
Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment