Sabah diceroboh: 4 mayat rakyat asing ditemui, seorang askar cedera
24 Mac 2013
LAHAD DATU - Empat mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam
sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan
bertempur dengan pengganas militan semasa operasi penggeledahan di
kampung itu, hari ini.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang anggota
tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata, insiden itu berlaku selepas pasukan keselamatan
menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran dan berlaku
tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.
"Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa pertempuran
pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari rumah itu
menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar rumah
berkenaan.
"Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan bagi membersihkan
rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum memasukinya dan
menjumpai empat orang mati ditembak," katanya pada sidang akhbar bersama
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi
di Felda Sahabat 16 di sini hari ini.
Zulkifeli berkata, mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita
dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tiada pengenalan
diri ditemui.
Beliau berkata, hasil penggeledahan, pasukan keselamatan menemui
seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada pengenalan diri
dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.
Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.
Zulkifeli berkata, kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi
pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan
sehingga kini 42.
Beliau berkata, militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak
dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan 'Small Unit Tactic', iaitu cuba
mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan
keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.
"Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati Modus Operandi musuh
ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan keselamatan ke satu
kawasan di mana penembak tepat mereka dapat melepaskan tembakan.
"Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan memasuki
kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan bertempur
semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah berdekatan
sekiranya tidak lagi mampu bertahan," katanya.
Beliau berkata, taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu
diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah
dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang
menghampirinya.
Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati
dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh
sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.
"Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi mendapat
tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan 'sniper'
pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak ada lagi
ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment