SPR janji undi rahsia seratus peratus
IPOH, 22 Mac — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan
pihak tertentu bahawa suruhanjaya itu boleh mengetahui calon yang
dipilih pengundi pada pilihan raya umum ke-13.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata, kerahsiaan undi setiap pengundi terjamin.
“Kerani SPR di pusat pengundian tidak dibenarkan dan tidak boleh
mencacat, menulis nombor atau apa-apa. Ini ialah undang-undang,” katanya
kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pegawai pengurus
pilihan raya, ketua penguatkuasa SPR dan ketua polis daerah di Perak, di
sini semalam.
Beliau menjelaskan, apabila pengundi masuk ke tempat pengundian,
kerani akan menyemak nama dan mengesahkan bahawa individu berkenaan
ialah pengundi sebenar sebelum dakwat dicalit pada jari pengundi dan
diberi kertas undi.
“Dalam setiap buku, ada 50 kertas undi dan ia akan diberikan mengikut
turutan. Jangan pula ada pengundi yang kata dia tak nak kertas undi
pertama, hendak yang tengah. Itu melanggar undang-undang dan peraturan,”
katanya.
“Kertas undi ada nombor siri. Sebagai contoh, nombor siri 100.
Apabila kita buka mana-mana helaian buku kertas undi, nombor sirinya
ialah 100 kerana nombor itu unik dan digunakan untuk saluran mengundi
berkenaan sahaja.”
Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan pengiraan kertas undi yang
diberikan kepada pengundi dan memudahkan SPR mengesan kemungkinan
pengundi menggunakan kertas undi berkenaan di saluran lain.
“Di saluran lain akan guna nombor siri lain pula, takut kalaulah ada
orang mengambil kesempatan bawa kertas undi daripada saluran lain masuk
dalam poket, konon nak tambah kertas undi, pergi masukkan ke dalam peti
undi di saluran lain,” katanya.
Oleh itu, katanya tidak ada pihak yang boleh mengetahui calon mana yang di pilih oleh pengundi.
“Orang yang datang mengundi, kita bukan tahu pukul berapa dia nak
datang. Pusat pengundian dibuka satu hari daripada jam 8 pagi hingga 5
petang. Macam mana boleh buat imaginasi boleh ‘match’ (padankan) orang
yang datang mengundi dengan benda ini (kertas undi),” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pilihan
raya termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan supaya tidak
mengajar ‘ajaran sesat’ kepada pengundi dengan memberi maklumat salah
berhubung pengundian bertujuan menimbulkan kesulitan dan kekecohan. —
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment