50 Tahun Memerintah, Tidak Tahu Buat Perubahan
- Published on Thursday, 18 April 2013 11:58
- Written by Administrator
PUTRAJAYA: Presiden PAS
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN sudah diberi
peluang lebih 50 tahun untuk mentadbir negara, namun peluang itu tidak
digunakan dengan baik oleh parti itu.
Sebaliknya, peluang itu katanya
digunakan untuk menindas rakyat dan pada masa sama mengambil kesempatan
untuk mengkayakan segelintir kelompok mereka.
Rakyat katanya, boleh menilai beza
pentadbiran 50 tahun BN dengan lima tahun di negeri-negeri yang ditadbir
Pakatan Rakyat khsusnya Selangor, Kedah, Pulau Pinang.
Penilaian bukan sahaja boleh dilihat
kepada bantuan dan isentif yang diberikan kepada rakyat, malah juga
ketelusan dan integriti pengurusan sehingga mendapat pujian dalam
Laporan Ketua Audit Negara.
"Lima puluh tahun (BN) tak tahu nak guna peluang, tak tahu nak buat perubahan, maka berlakulah apa berlaku hari ini.
"Lima puluh tahun bagi usia satu-satu
kerajan sudah sampai pada taraf boleh nyanyuk, dan ini perlu
dipulihkan," katanya sambil menyeru rakyat membuat perubahan.
Beliau berkata demikian pada ceramah
Tawan Putrajaya 2013 di padang bola sepak di Desa Pinggiran Putra di
sini malam tadi yang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 orang.
Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat
perlu sedar dengan taktik umpanan yang sering dibuat parti pemerintah,
lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.
Pelbagai bantuan tersebut ujarnya
bersifat sementara dan diumumkan semata-mata mahu mengaburi mata rakyat
dari segala kepincangan pentadbiran yang berlaku supaya rakyat terus
menyokong mereka.
"Kita diumpan dengan pelbagai umpan,
disogok dengan pelbagai sogokan. Masa nak pilihan raya dia dinaikkan
gaji, dinaikkan elaun, lepas pilihan raya dia naikkan harga barang,
inflasi tidak terkawal.
"Apa maknanya, menandakan mereka tidak boleh mengurus negara dengan baik," katanya lagi.
Sementara itu, ceramah Pakatan Rakyat di
sini malam tadi adalah yang pertama selepas Naib Presiden PAS Datuk
Husam Musa diisytihar sebagai calon PAS bertanding bagi kerusi
Putrajaya.
Turut berucap pada ceramah ini termasuk
Husam sendiri, calon PAS Sepang Hanipa Maidin serta calon Dengkil Borhan
Aman Shah dari PKR.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang sepatutnya dijadual hadir bagaimanapun diumumkan terpaksa
membatalkan kehadirannya disaat akhir atas urusan yang tidak dapat
dielakkan.
Mengulas kehadiran ramai malam tadi,
Tuan Guru Abdul Hadi berkata ianya mencerminkan semangat prubahan di
kalangan rakyat dan beliau melahirkan keyakinan, bahawa tidak mustahil
Putrajaya boleh dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
"Pada asalnya saya nak cakap sikit sahaja, bila tengok ramai ni naik semangat pulak.
"Dengan kehadiran ini saya yakin dan percaya, jumlah seramai ini mampu menggerakkan putrajaya," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment