6/04/13
Rakan artis mahu pasti Aishah menang di Jempol
KUALA LUMPUR: Penulis lirik dan pelakon Bob Lokman menyokong penuh
keputusan PAS meletakkan penyanyi Aishah untuk bertanding di Parlimen
Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).
Beliau berkata, Aishah (gambar) sangat sesuai dicalonkan kerana beliau
seorang yang berpelajaran tinggi ditambah pula faktor beliau sebagai
selebriti yang dikenali ramai.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkelulusan Sarjana
Muda (Kepujian) Jurusan Sains Politik dari Universiti of Auckland, New
Zealand.
"Ya, saya memang sokong dan mesti sokong sebab Aishah seorang yang
berpelajaran. Kalau dia sekadar artis tapi tak berpelajaran, saya tak
berapa sokonglah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Aishah yang terkenal dengan lagu 'Janji Manismu' diumumkan akan
bertanding di Jempol oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu
ceramah di Taman Melewar Rabu lalu.
Bob juga berkata, beliau dan rakan artis yang lain akan membantu
memberikan sokongan dan turun membantu Aishah berkempen di Jempol.
"Kami rakan-rakan artis memberi sokongan penuh kepada Aishah. Kami mesti
turun...mesti turun bantu Aishah (berkempen)," katanya sambil menyeru
masyarakat khususnya ahli PAS memberikan sokongan padu kepada Aishah.
Dalam pada itu, beliau menambah, Aishah akan 'selamat' jika tetap
berpegang kepada ajaran Islam selepas menjadi wakil rakyat nanti.
"Saya menyokong sahabat artis yang bertanding kerana bukan sahaja kita menyokong untuk Aishah tapi untuk Islam juga.
"Tapi Aishah kena ingat, dia kena bezakan Melayu dan Islam. Melayu dan
Islam banyak bezanya. Jadi wakil rakyat ini kena berpegang dengan Islam.
Selagi Aishah berpegang dengan Islam dia akan boleh bertahan," kata Bob
Lokman (gambar kanan)
Menurut sumber, masyarakat setempat khususnya wanita menyokong penuh
Aishah bertanding di Jempol. Menurut mereka, Aishah mempunyai peluang
yang sangat cerah berbanding tokoh-tokoh PAS yang lain.
Ini kerana Jempol adalah kubu Umno dan hanya orang seperti Aishah mampu memecahkan kubu itu.
"Dengan kekuatan jentera PAS di sini dan bantuan tenaga dari para artis,
saya yakin Aishah boleh menang," kata salah seorang dari mereka yang
menghubungi Harakahdaily.
Pada pilihan raya umum 2008 calon BN Datuk Lilah Yasin menang dengan
majoriti 12,320 undi mengalahkan calon PAS, Siti Meriam Naan.
BN menguasai lima daripada lapan kerusi parlimen di negeri itu, sementara DAP pula menang dua kerusi dan PKR satu kerusi.
0 orang berkata:
Post a Comment