Bubar 1MDB, manifesto pembangkang tidak munasabah
KUALA
LUMPUR, 4 April — Janji pembangkang hendak membubarkan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), seperti terkandung dalam manifesto pilihan
rayanya, jelas tidak munasabah kerana 1MDB telah banyak memberi manfaat
kepada rakyat.
Pelaksanaan 10 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB
contohnya berjaya mencapai objektif dalam membantu meningkatkan akses
pendidikan, kesihatan, perniagaan dalam kalangan golongan yang
memerlukannya serta merealisasikan impian mereka.
Program CSR itu termasuk menaja kakitangan masjid serta ketua kampung
menunaikan haji, Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Klinik
Bergerak 1Malaysia, Dana Belia 1Malaysia dan Rumah Arau berjaya membantu
meningkatkan kualiti hidup rakyat sejajar dengan aspirasi gagasan
1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Setakat ini, kira-kira 1.5 juta rakyat negara ini telah mendapat
manfaat daripada pelbagai program CSR di bawah seliaan Yayasan 1MDB
dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM300 juta.
Muhsin Abdul Razak, 27, penerima Dana Belia 1Malaysia bagi projek
seni kreatif ‘Projek Rabak’ menerima dana sebanyak RM60,000 untuk
menjayakan projek itu yang bertapak di Ipoh.
Anak muda lulusan kejuruteraan automotif Universiti Teknikal Malaysia
Melaka itu berkata dana berkenaan dapat membantu generasi muda yang
cenderung kepada bidang seni lukis, perfileman, fotografi, puisi dan
sajak.
“Kami ada laman Facebook yang kini mencecah jumlah 6,000 ‘like’ dan
kini kami tubuhkan Khizanat sebagai galeri terbuka mengumpulkan peminat
seni bagi berkongsi idea dan pendapat,” katanya yang menganggap projek
itu sebagai platform dan tempat berkongsi idea sesama peminat bidang
itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd Zaidi
Aziz berkata menghapuskan Dana Belia 1Malaysia seperti mana tertulis
dalam manifesto pembangkang memang tidak wajar kerana inisiatif yang
diberikan banyak membantu golongan muda berkemahiran dalam bidang
kreatif dan inovatif.
“Kita tidak boleh menghapuskan inisiatif tersebut begitu sahaja, kita
perlu lihat elemen mana yang perlu ditambah baik. Ramai yang tidak
faham Dana Belia 1Malaysia ini diberikan kepada golongan muda yang
mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang kreatif,” katanya.
Projek cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang
dilancarkan pada 2011 itu setakat ini memanfaatkan dana kira-kira RM14.7
juta yang diberikan kepada 249 penerima yang layak bagi kategori Dana
Belia 1Malaysia.
Pelajar jurusan ijazah kejuruteraan perisian, Melvin Tah Kok Wai, 22,
berkata beliau berasa bertuah terpilih menyertai program perintis
‘Experince Work’ kerjasama Yayasan 1MDB dan Yayasan Sime Darby yang
memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk bekerja di
universiti.
“Saya bekerja di Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai penyelia yang
menguruskan kediaman pelajar. Banyak pengalaman yang saya perolehi
selain kemahiran berkomunikasi,” kata pelajar tahun satu Universiti
Tenaga Nasional itu.
Sehingga Mac ini, seramai 75 orang pelajar universiti mendapat
manfaat daripada program ini yang turut membantu meringankan beban
pelajar kurang berkemampuan serta mendedahkan pelajar kepada dunia
pekerjaan.
1MDB turut menyediakan ‘Projek Majudiri’ bertujuan meningkatkan
kualiti hidup serta ekonomi usahawan kecil dari golongan berpendapatan
rendah dengan menyediakan kursus pemantapan perniagaan dan peralatan
yang sesuai dengan perniagaan yang dijalankan.
Ibu tunggal, N. Puspavalli, 36, yang menjalankan perniagaan kuih
tradisional masyarakat India menyifatkan kursus itu sebagai platform
kepada beliau untuk memajukan perniagaan.
“Saya dapat banyak ilmu semasa menyertai kursus selama dua hari itu,
saya kini lebih yakin berkomunikasi dengan pelanggan dan tahu cara
memasarkan produk saya,” katanya yang merupakan seorang daripada 3,000
peserta yang mendapat manfaat kursus itu.
Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Wangsa Maju (Seksyen 1),
Ismail Abu Samah, 59, yang berpeluang menunaikan fardu haji 1433H/2012
di bawah tajaan 1MDB menyifatkannya sebagai rezeki kerana jika tidak,
beliau perlu menunggu giliran selama 32 tahun untuk menunaikan Rukun
Islam kelima itu, dengan perbelanjaan sendiri.
“Saya bersama 400 jemaah lain seluruh negara merupakan kumpulan kedua
yang menunaikan haji di bawah program khas ini,” kata bapa kepada tujuh
anak sambil mengakui tawaran itu benar-benar menyentuh hatinya kerana
selamat pergi dan kembali dari tanah suci Makkah.
Perdana menteri baru-baru ini menyerahkan surat tawaran menunaikan
fardu haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1MDB kepada 800 orang terdiri
daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK).
1MDB turut menyediakan dana PIBG RM20 juta bagi membantu memperkasa
program dan aktiviti yang dijalankan PIBG di sekolah kerajaan dan
sekolah bantuan kerajaan.
Ia juga memberi biasiswa pendidikan kepada 900 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia.
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan
manifesto itu menegaskan akan membubarkan 1MDB kerana mendakwa ia
mempunyai fungsi dan objektif yang sama dengan Khazanah Nasional yang
terlibat dalam strategi pelaburan sedangkan peranan 1MDB jauh lebih
besar dan berjasa kepada warga Malaysia. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment