Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
 
KUALA TERENGGANU – Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bersedia untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan sebagai calon Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau antara calon yang diumumkan lebih awal oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menyatakan kesyukuran  dan menghargai kepercayaan diberikan Pas dan juga kepimpinan parti itu untuk menggalas tugas memenangkan kerusi yang disandang Pas menerusi pilihan raya kecil awal 2009.

Pengumuman awal itu menutup segala teka-teki terhadap calon Pas yang akan diketengahkan di kerusi tersebut pada pilihan raya umum ini.

“Saya ucap setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh ahli Pas dan juga Presiden atas kepercayaan yang diberi untuk bertanding Parlimen Kuala Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan, kerabat diraja itu antara nama yang diintai Pas sebagai calon PRU13 dan persoalan mengenai pencalonan Raja Bahrin bertanding bertiup kencang apabila beliau dilihat kerap berada sepentas dengan Pas sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Raja Bahrin menjelaskan beliau akan bergerak sebagai calon Pas sempena kempen pilihan raya ini dan bukannya sebagai Pengerusi Amanah Terengganu sebagaimana dilakukan sebelum ini.

Pada masa sama, beliau yang juga arkitek terkenal mahu membuat beberapa perubahan terutama dalam aspek pembangunan di Parlimen Kuala Terengganu sekiranya menang pada pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, beliau bukan sahaja mahu berkongsi kepakaran sedia ada, sebaliknya memberi jaminan untuk mengiktiraf kerja-kerja bidang profesional lain dalam memastikan Parlimen Kuala Terengganu dibangunkan sebaik mungkin.

Ditanya respons beliau mengenai penyertaan warga emas, Maimun Yusof atau Tok Mun, 94, untuk bertanding sekali lagi atas tiket Bebas di kerusi parlimen tersebut, beliau menjelaskan itu bukan faktor yang perlu diberi perhatian.

Sebaliknya, beliau melihat penyertaan Tok Mun sebagai satu bentuk demokrasi yang diraikan oleh pelbagai pihak tidak kira peringkat umum.

Pada PRU12, calon Barisan Nasional, Allahyarham Datuk Razali Ismail memperoleh 32,562 undi menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dengan 31,934 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan 685 undi.