Maszley Minhad
Maszley Minhad
IPOH - Seorang lelaki yang membuat kerja-kerja kampung ditahan selepas bertindak menghayun parang kerana tidak membenarkan seorang lelaki lain memasang bendera di sekitar bilik gerakan sebuah parti politik yang terletak di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar pada Khamis lalu.

Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszley Minhad berkata, suspek berusia 48 tahun itu didakwa melakukan perkara itu kira-kira jam 11.45 malam.


“Ketika kejadian, mangsa sedang menggantung poster dan memasang bendera sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba cuba mengugut dengan menghayunkan parang sepanjang 0.5 meter ke arah mangsa.


“Mangsa yang ketakutan segera melarikan diri sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya pada pada sidang media di sini, semalam.


Menurutnya, suspek berjaya diberkas pada jam 5.30 pagi keesokan harinya dan dijangka akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.


“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Maszely berkata, bekas Ketua Kampung Changkat Ibol, Taiping turut membuat laporan polis kelmarin selepas didatangi beberapa lelaki bermotosikal yang mencabut bendera sebuah parti berhampiran Kampung Tengah.


“Bagaimanapun, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sementara itu, sehingga jam 12 tengah malam kelmarin, sebanyak lapan laporan polis telah diterima serta satu tangkapan di Kuala Kangsar dan dua kertas siasatan dibuka.


“Jumlah itu menjadikan keseluruhan laporan polis yang diterima sejak 3 April lalu adalah sebanyak 116 kes,” katanya.


Menyentuh mengenai perihal kempen yang bermula semalam selepas tamat penamaan calon, Maszely berkata orang awam terutamanya calon dan penyokong parti bertanding untuk mematuhi peraturan yang termaktub di bawah Akta Pilihan Raya 1954.


“Selain itu, mereka dinasihatkan untuk mematuhi peraturan sepanjang kempen berjalan dengan aman agar tidak berlaku unsur ugutan, sogokan dan gangsterisme serta memohon permit jika ingin mengadakan ceramah,” katanya.