Pengerusi SPR: Sudah ada bayang-bayang tarikh PRU
23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan
pembubaran Dewan Rakyat hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata tarikh itu juga mengambil kira pembubaran automatik Dewan
Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lepas.
"Kalau kira mulai 3 April hari ini, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun,
jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka
perlu adakan (PRU-13) selewat-lewatnya 28 Mei," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang
dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media
Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.
Ditanya mengenai bayangan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata:
"Ada bayang-bayangnya tetapi tidak sesuai saya sebutkan di sini kerana perlu dibincangkan dengan panel-panel (SPR) yang lain".
Abdul Aziz berkata banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk
peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar
dalam memilih tarikh pilihan raya.
"Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita. Bila anggota panel SPR
bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan
sebulat suara," katanya.
Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU-13 itu akan
menjadi pilihan raya "terburuk" dalam sejarah negara, kononnya berlaku
penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.
"Saya langsung tak percaya PRU-13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya
semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas,
pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya
percaya PRU-13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur," katanya.
Abdul Aziz menarik perhatian SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam
proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan
pembersihan berterusan Daftar Pemilih.
"SPR hanya sediakan gelanggang, tempat bertanding dan sediakan alat-alat
(untuk mengundi). Yang tentukan menang atau kalah calon pilihan raya
adalah pengundi," katanya.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment