Muhd Taib / Mat Taib
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Pas, Umno dan PKR harus bersatu di bawah satu lambang yang bertunjangkan Islam supaya perpecahan di kalangan umat Melayu-Islam dapat dihentikan segera.

Disebabkan itulah beliau memilih untuk menyertai Pas yang pada hemat beliau sebagai sebuah parti yang boleh menambah baik apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) selama ini ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Saya tengok bangsa saya berpecah belah. Pecah belah teruk ini, tidak nampak asasnya untuk bersatu. Ramai cerdik pandai, semua menyeru kepada kesatuan.

"Saya juga cuba menyumbangkan sekarang ini, mungkin saya gagal, tak apa.  Tetapi lebih baik saya bercakap dan menyampaikan daripada saya diam. Ini pada saya satu usaha," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Muhammad, yang juga bekas Naib Presiden Umno dan bekas menteri Kabinet, semalam menyerahkan borang menyertai Pas sekali gus menjawab desas-desus seorang menteri besar akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Muhammad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib berkata, hanya dengan penyatuan, Pas, Umno dan PKR, syiar Islam dapat dikembangkan dan kepimpinan berteraskan al-Quran dapat diterjemahkan.

"Itu saya kata, kalau kita serius hendak menzahirkan kepimpinan Islam yang bersatu, kita kena menguatkan kepimpinan Islam," tegas Mat Taib.

Oleh itu katanya, beliau memilih menyertai Pas bagi tujuan penyatuan itu.

"Kalau di sini carca marba punya cara, sambutan merdeka pun boleh menari pakai seluar dalam pun nampak, saya lebih berminat kalau sambutan merdeka, sambutan ini baca doa. Sekarang ini pun radio Ikim, ratingnya tinggi. Minat orang sudah ada ke situ," katanya.

Ditanya adakah hasrat beliau itu diajukan kepada Umno, Mat Taib berkata, "saya tengok kumpulan yang berminat dalam bidang ini ialah Pas" dan tambahnya "saya tidak mahu serang Umno kerana saya lama dalam Umno."

"Itu tidak adil. Umno sudah buat baik. Saya fikir Pas perlu diberi peluang. Bagi dia peluang," katanya.