Kempen PRU13: BN mula perang siber
Sebahagian paparan laman khas yang membawa mesej "Bertindak Sekarang" dan menawarkan Kit Tindakan kepada penyokong BN.
PERANG siber Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermula!

Tidak perlu terkejut apabila anda menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi "Salam 1Malaysia, Parlimen sudah dibubarkan. Pilihlah Malaysia. Undilah BARISAN NASIONAL".

Nampaknya perang siber ini sudah bermula awal walaupun tarikh penamaan calon dan hari pengundian belum pun diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hari penamaan calon dan pengundian hanyat akan diketahui Rabu ini.

Mengikut peraturan khas yang digariskan SPR, kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi.

Ia bagi memastikan, pilihan raya berjalan lancar dan mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan Seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik pegawai penguat kuasa dan membentuk satu atau lebih pasukan-pasukan penguat kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu.

Laman web 1Malaysia yang memaparkan paparan Jom Bertindak juga sudah boleh diakses.

Di sebelah kanan, laman Sinar Harian Online sendiri, pengunjung boleh menyaksikan iklan Bersama Maju Ke Hadapan 1Malaysia. Ia bermula sejak kelmarin.

Klik sahaja di atas paparan iklan berkenaan akan terus mendapat akses ke www.1malaysia.com.my.

Selain memaparkan tranformasi dan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional, pelayar laman web berkenaan boleh mendaftarkan diri bagi mendapatkan Kit Tindakan.

Kit Tindakan ini mengandungi kelengkapan asas bagi membantu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang.

Antaranya ialah pen, pin kolar, pelekat kereta, buku panduan.

Tertera pada Kit Tindakan itu tulisan "Kita Sokong Najib Razak"

Dengan mengisi secara online maklumat diri, termasuk nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal, mereka yang berdaftar akan dikirimkan Kit Tindakan ini.

Semakan Sinar Harian Online di laman-laman web rasmi pembangkang buat masa ini belum menemukan sebarang kempen seumpama itu.