Abdul Ghani Othman
Abdul Ghani Othman
LEDANG  - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengakui menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam berkaitan kedudukannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun Ketua Umno Bahagian Ledang itu masih berteka-teki dan tidak menyatakan sama ada akan mempertahankan kerusi Dun Serom atau bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

“Tadi saya dapat panggilan daripada perdana menteri, tetapi saya tidak dapat bagi tahu lanjut perkara yang dibincangkan. Mohon doakan semuanya selamat.

“Walau apa kemungkinan yang berlaku, Insya-ALLAH setiap minggu saya akan pulang ke kampung (Ledang) terutama hari Jumaat, juga hujung minggu untuk bertemu rakyat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil serta Penyampaian Hak Milik (geran Tanah) Kurnia Jaya Mukim Gersik di Balai Raya Kampung Melepang dekat Sagil, di sini, semalam.


Terdahulu, Abdul Ghani mengambil masa kira-kira 15 minit berbual dengan Najib menerusi telefon bimbit sebelum kelihatan ceria dan bersemangat untuk menyampaikan ucapan.

Sebelum ini, Abdul Ghani disebut-sebut calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang  dan dilihat calon paling sesuai di kawasan berkenaan bagi mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Abdul Ghani bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perbualannya itu.

“Tunggulah dua tiga hari lagi akan diumumkan.

“Tidak tahu, tunggu sahaja,” apabila ditanya adakah kemungkinan beliau menerima berita baik semasa perbualan dengan Najib.