SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menolak sekeras-kerasnya amalan 'politik lucah', ganas dan londeh-melondeh yang menular sejak akhir-akhir dipercayai bertujuan meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perbuatan menyebarkan skandal seks yang melibatkan beberapa pemimpin pembangkang beragama Islam tidak sepatutnya berlaku.

Ini adalah kerana tindakan itu boleh merosakkan pemikiran dan kepercayaan masyarakat yang saban hari dihidangkan dengan pelbagai bahan berita berunsur fitnah dan semata-mata untuk menjatuhkan lawan dan kepentingan politik pihak tertentu, kata beliau.

“Abim menolak sekeras-kerasnya pendedahan skandal seks kepada umum kerana dilihat cuba meraih undi politik.

“... perbuatan mereka yang sebarkan video di YouTube dan CD itu tidak bermoral.

“...jika benar mana-mana pemimpin itu melakukan jenayah dan salah laku menyalahi syariat Islam, individu terbabit sepatutnya menggunakan mekanisme perundangan Islam seperti membuat laporan kepada pihak berkuasa dan dakwanya di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas satu skandal seks yang mengaitkan seorang pemimpin kanan Pas yang didedahkan sebuah blog politik Kedahan69ers.com yang memuat naik klip video sepanjang empat saat malam tadi.
Video klip yang memaparkan seorang lelaki mirip seorang pemimpin Pas yang sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dipercayai di sebuah bilik hotel itu turut disebarkan laman blog Papa Gomo dan portal Perak Today pada awal pagi tadi.

Tegasnya, budaya itu perlu dihentikan segera dan parti politik dinasihatkan supaya tidak menggunakan pendekatan kotor itu dan tidak boleh mengaibkan mana-mana pemimpin politik khsusnya mereka yang beragama Islam.

“Sepatutnya negara menuju sistem demokrasi yang matang, saya tak fikir ada negara lain guna senjata seks dan bahan lucah di peringkat umum untuk bahan pancing undi mereka.

“... rakyat mereka ditawarkan tentang program pembangunan ekonomi, pendidikan dan fakta kenegaraan bukan benda lucah dan  fitnah,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media pagi tadi, Abim menggariskan empat perkara utama untuk umat Islam sempena PRU13 iaitu:
- Menolak budaya politik fitnah
- Menolak amalan politik lucah
- Menolak amalan politik samseng
- Menolak amalan rasuah dan peras ugut
 

Empat teras terbabit hasil daripada sesi dalam Muzakarah Khas Pendirian 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam pada hari ini iaitu Kumpulan Prihatin, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Hafiz Malaysia (Paham), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).