Mat Taib yakinkan Melayu pedalaman, DAP bukanlah ancaman kepada mereka
14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PAYA JARAS, 25 April — Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, individu yang
pernah menjadi perancang bagi Umno dalam beberapa pilihan raya,
meyakinkan orang-orang Melayu di sini, DAP bukanlah parti yang akan
menggugat kedudukan mereka.
Bekas menteri besar Selangor itu turut menyakinkan orang ramai gabungan
PAS, PKR dan DAP sudah bersedia untuk mengambil alih Malaysia untuk
menggantikan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Malaysia
semenjak Merdeka.
“Itulah, dia kata DAP rasis. Tak adalah tuan-tuan, ini semua spin. Orang
spinlah DAP perkauman, kalau di spin tuan-tuan, hari-hari kita kata ini
jahat, ini jahat, lama-lama orang akan percaya,” kata Muhammad merujuk
kepada media arus perdana yang seringkali menggambarkan DAP sebagai
sebuah parti perkauman.
“Saya pernah jadi naib presiden Umno, saya tahu macam mana pemimpin Umno bertindak tuan-tuan,” tambah beliau lagi.
Muhammad turut mengatakan Pakatan Rakyat (PR) mempunyai
pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi untuk membawa Malaysia ke tahap
lebih tinggi.
“Saya tengok PAS ramai pemimpin-pemimpin berkaliber, macam Husam Musa.
Saya tengok Rafizi dari PKR, class. Pemimpin-pemimpin macam ni tuan-tuan
kalau dibagi tanggungjawab, selamat, selamat mana-mana jabatan yang
dijaga.
“DAP ada Tony Pua, di PJ Utara. Ini anak-anak muda tuan-tuan,” kata
Muhammad dihadapan 500 hadirin yang majoritinya terdiri daripada
orang-orang Melayu di Padang Paya Jaras Hilir malam tadi.
Muhammad Isnin lalu menyerahkan borang keahlian PAS kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tindakan beliau membantu memperkukuhkan lagi imej PAS yang sebelum ini dilihat sebagai sebuah parti “kampung”.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras merupakan kubu kuat Umno,
disandang oleh Datuk Muhammad Bushro Mat dan merupakan satu-satunya
kerusi DUN yang terselamat didalam Parlimen Subang daripada ‘tsunami’
politik 2008.
Pada 2008 DUN Subang Jaya dimenangi oleh Hannah Yeoh dari DAP dan Kota
Damansara pula dimenangi oleh Dr Nasir Hashim yang menggunakan tiket
PKR.
Sebelum itu, calon PAS bagi DUN Paya Jaras Khairuddin Othman merayu
kepada hadirin agar memberikan peluang kepadanya kali ini untuk mewakili
mereka.
Kedatangan Muhammad berceramah dilihat sebagai satu strategi Pakatan
Rakyat (PR) untuk menembusi salah satu kubu kuat Umno di Selangor itu.
Dr Khir Toyo baru-baru ini memberitahu The Malaysian Insider bahawapemimpin
Umno tidak seharusnya memandang ringan penyertaan Muhammad kedalam PAS
dan mendesak parti itu memerhatikan kempen Muhammad dengan lebih dekat
agar undi Melayu tidak beralih dari gabungan pemerintah itu.
Muhammad bekas pemimpin utama Umno yang menyandang pelbagai jawatan
utama dalam parti, pernah menjadi menteri besar Selangor dari tahun 1986
hingga 1997.
Beliau juga pernah menjawat jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2008 hingga 2009.
Koordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed walau
bagaimanapun menafikan Muhammad menjadi ancaman kepada gabungan itu.
“Sudah tentu terdapat orang yang suka kepada dia, tetapi dia sudah
menjadi sejarah … dan dia bukanlah seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad)
yang evergreen. Saya tidak fikir dia akan memberikan kesan,” kata Mohd
Zin kepadaThe Malaysian Insider.
Selangor buat pertama kalinya tumbang ditangan PR dalam Pilihan Raya 2008.
Walaupun memenangi Selangor pada 2008, PR masih lagi lemah dikawasan pendalaman yang didiami oleh majoriti masyarakat Melayu.
Pada Pilihan Raya 2008, PR memenangi 37 daripada 56 kerusi DUN di Selangor, kebanyakkannya kerusi-kerusi DUN di kawasan bandar.
Kawasan pendalaman menjadi kubu kuat BN terutamanya Umno dan kehadiran
Muhammad untuk berkempen dijangka akan memberikan impak besar pada
pilihan raya umum 5 Mei depan.
The Malaysian Insider/-
0 orang berkata:
Post a Comment