Bahasa
Mukhriz: Calon bukan Islam Pas bukan ancaman kepada BN
SUNGAI
PETANI, 14 April — Strategi PAS yang mahu meletakkan calon bukan Islam
bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukanlah satu ancaman
besar kepada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ramai calon berwibawa.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz
Mahathir berkata beliau melihat pendekatan yang digunakan PAS itu
sebagai respons terhadap sekutu pakatan pembangkang iaitu DAP, yang mahu
meletakkan calon Melayu.
“DAP, juga mahu meletakkan calon Melayu (atas tiket DAP). Di Kedah,
apabila DAP mahu letakkan calon Melayu, itu sedikit sebanyak menggugat
kedudukan PAS, jadi mereka (PAS) letakkan calon bukan Melayu dan bukan
Islam di Johor (untuk bertanding atas tiket Pas).
“Apa pun, kita tidak melihat ini sebagai satu ancaman besar, yang
penting calon-calon BN itu orang yang berwibawa dan berpengalaman serta
memang layak untuk pegang jawatan wakil rakyat. Kita sanggup berhadapan
dengan sesiapa sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
program Rali Selamatkan Kedah - Pentas Pemuda Barisan Nasional di Uptown
Sungai Petani, dekat sini, malam tadi.
Semalam, PAS Johor mengumumkan untuk menampilkan dua calon bukan
Melayu yang terdiri daripada anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
untuk bertanding mewakili parti itu.
Sementara itu, Mukhriz berkata tindakan beberapa bekas jeneral
tentera menyertai parti pembangkang dan mahu bertanding pada PRU13
menimbulkan macam-macam keraguan dan persoalan tentang niat mereka.
“Empat atau lima orang bekas tentera baru nak kenal Anwar (Ketua Umum
PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan nak bela dia, tetapi lebih 40
pemimpin PKR yang keluar parti. Adakah kita nak percaya kepada
bekas-bekas jeneral yang ada agenda peribadi ini?” katanya.
Katanya bekas pegawai tentera yang melibatkan diri dalam politik,
perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana dibimbangi mereka
akan ‘terlepas cakap’ dan mendedahkan rahsia sulit mengenai keselamatan
negara.
Beliau berkata sekiranya rahsia mengenai keselamatan negara
didedahkan, ia bukanlah satu trend yang baik malah boleh membahayakan
keadaan keselamatan negara.
“Saya lihat kita belum boleh fahami apa kesan kepada negara kita
apabila pakatan pembangkang sudah mula menggunakan bekas-bekas pegawai
tinggi tentera sebagai wakil atau calon mereka dalam pilihan raya.
Kadang-kadang mereka (bekas pegawai tentera) keluarkan kenyataan yang
dianggap sebagai rahsia ketenteraan atau rahsia keselamatan negara yang
sudah tentu akan digunakan oleh musuh-musuh kita di luar.
“Keduanya, sebagai sebuah negara yang kerajaannya dipilih oleh
rakyat, diwakili oleh orang awam, kita satu-satunya negara di Asean yang
tidak mempunyai kerajaan military, jadi saya bimbang apa yang mereka
cuba lakukan itu betul-betul mengubah sebuah negara yang aman sejahtera,
yang kita nikmati selama ini,” katanya. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment