RAMAI YANG BERTANYA MENGAPA HUSAM MENANGIS
PUTRAJAYA: Ramai
tertanya-tanya apa yang telah menyentuh hati Datuk Husam Musa sehingga
beliau menangis hiba semasa hari penamaan calon di Putrajaya kelmarin.
Beliau kelihatan mengesat air mata
sewaktu para penyokongnya yang hampir 3,000 orang mengiringinya dan
mengaminkan doa sebaik sahaja beliau tiba di pusat penamaan Presint 9.
"Saya amat hiba dengan sokongan rakyat
jelata, terutamanya anak-anak muda, semangat perjuangan mereka, cukup
menyentuh hati," katanya ekoran tidak pernah berlaku dalam pilihan raya
di Putrajaya, penyokong begitu ramai mengiringi calon dari pembangkang.
Beliau juga, beliau terharu kerana PAS
telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk bertanding di kota
pentadbiran yang merupakan kerusi yang amat strategik dalam negara.
"Saya kini meletakkan diri saya untuk
mencontohi jejak langkah perjuangan getir para anbiya dan
sahabat-sahabat dalam menegakkan Islam," katanya sebagaimana dipetik
dalam laman Facebook rasmi PAS Putrajaya.
Husam turut hiba kerana secara tiba-tiba
beliau dianugerahkan suatu amanah yang besar untuk menerobos kota
Putrajaya dengan membawa panji PAS.
PRU 13 ini merupakan satu cabaran besar
buat Husam apabila beliau satu-satunya harapan PAS dan Pakatan Rakyat
untuk membuka pintu Putrajaya bagi merealisasikan impian rakyat yang
mahukan perubahan.
Walaupun lawan beliau Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor dengan bongkaknya berkata, Husam akan hilang wang
pertaruhan, Husam dikatakan akan memberi saingan sengit kepada
Setiausaha Agung Umno itu.
Kawasan Parlimen Putrajaya seluas 4,931
hektar itu diwakili Tengku Adnan sejak 2004 selepas kawasan itu
diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan pada 2001.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau
memenanginya dengan majoriti 2,734 undi, mengalahkan Pesuruhjaya PAS
Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad.
0 orang berkata:
Post a Comment