Surat terbuka kepada "Khadam Politik"
- Published on Wednesday, 17 April 2013 14:32
- Written by Administrator
1.
Di zaman Rasulullah SAW berdakwah dan berjihad, Islam bukan sahaja
menghadapi musuh di kalangan ahli kitab, tetapi juga dari kalangan
mereka yang berilmu berkenaan Islam dan kenabian Muhammad SAW. Mereka
ini juga ikut serta menentang Islam secara terbuka, atau bersembunyi di
belakang kalangan munafiqin (yang berpura-pura Islam) atau mempengaruhi
orang-orang Islam yang lemah imannya.
2. Kumpulan ini sanggup menentang Islam
kerana terlalu terpengaruh dengan harta dan pangkat yang mudah dicapai.
Mereka ini bersedia melakukan apa sahaja yang terdekat dan cepat tanpa
memikirkan akibatnya. Walau pun mereka percaya benarnya Islam dan
mulianya Rasulullah SAW dengan sifat yang terpuji dan akhlak yang luhur,
tetapi kemenangan Islam dianggap payah dan mungkin mustahil . Apatah
lagi mereka memikirkan bahawa akhirat terlalu jauh, lalu memilih jalan
yang mudah, dekat dan tidak mencabar.
3. Kalaulah seorang tokoh seperti
Rasulullah SAW pun menghadapi jenis manusia yang begitu rupa, maka di
zaman umat yang menyambung perjuangannya tentulah lebih banyak lagi,
mungkin dengan cara dan sifat yang berlainan.
4. Di zaman penjajah pula digunakan para
ulama yang mencari kebendaan dan pangkat untuk menentang jamaah Islam
yang menentangnya. Penjajah ini mengambil langkah menghapuskan ulama
yang berpolitik, dan membiarkan dan menyokong ulama yang tidak
berpolitik. Maka kalangan umat Islam yang jahil dan lemah imannya
menjadi keliru, kerana ada ulama yang menyokong penjajah dengan membaca
ayat-ayat Al Quran dan Hadith juga. Sehingga ada kalangan tokoh ulama
pewaris Rasul menjadi mangsa di bunuh, di buang negeri, di penjara dan
sebagainya.
5. Di zaman ini penjajah asing sudah
keluar. Negara sudah merdeka, namun umat Islam dan rakyat bukan Islam
yang lemah bersamanya masih dibelenggu dengan penjajah tempatan yang
meneruskan kemungkaran dan kezaliman yang membelenggu rakyat
keseluruhannya.
6. Pada waktu ini pula di bawah
pemerintahan Kerajaan BN selama puluhan tahun, taktik kerajaan yang
bermasalah ini turut sama menggunakan khadam untuk mempertahankan takhta
politiknya. Di antaranya menggunakan kumpulan yang berjenama Islam bagi
mempertahankan kebatilan yang masih berkuasa dengan zalim dan fasik,
serta memerintah dengan segala tipu dayanya.
PAS bersama Pakatan Rakyat
7. Dalam menghadapi PRU-13 ini, PAS
memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan dengan makna yang menyeluruh.
Bukannya "Negara Kebajikan" mengikut istilah barat, tetapi "Negara
Berkebajikan" bersama pemimpin yang beriman dan budiman dan adil
terhadap semua.
8. Konsep ini diterapkan dalam Buku
Jingga dan ditafsirkan dalam Manisfesto di peringkat pusat dan kerajaan
negeri masing-masing, berasaskan sistem Federalisma yang membahagikan
bidang kuasa dan memberikan ruang yang lebih berkesan mengikut realiti
negeri dan masyarakat yang berbeza. Konsep ini dapat diterapkan melalui
konsep Islam itu Rahmat dan adil terhadap semua. Ini mampu dilaksanakan
dalam Pakatan Rakyat walau pun berbeza ideologi dan agama, tanpa perlu
berganjak dari dasar Islam dan tanpa paksaan terhadap pihak yang
berbeza.
9. Penyokong PAS mengundi DAP di atas
konsep Tahaluf (persefahaman) dan bersama menolak BN kerana
kemungkarannya yang besar, parah dan nyata. Atas kesediaan DAP dan PKR
menerima konsep bersama menentang kemungkaran yang besar, maka penyokong
DAP dan PKR bukan Islam mengundi PAS dan menolak MCA, MIC dan lain-lain
parti komponan BN dan bukan sahaja menolak UMNO. Tembok perkauman yang
menjadi tiupan UMNO melalui Biro Tata Negara (BTN) milikan Kerajaan ini
berjaya dipecahkan !.
10. Sebaliknya penyokong UMNO (Melayu
Islam) pula tidak mengundi PAS, tetapi mengundi MCA, Gerakan dan
lain-lain di kalangan bukan Islam dalam keadaan slogan Umno hidup melayu
dan mempertahankan Islamnya dengan solekan godaan politik wang
(rasuah). MAKA KETIKA INI MUNCULLAH KHADAM YANG DIGUNAKAN DENGAN
BERBAGAI PENDEKATAN.
Kemunculan Khadam – untuk selamatkan UMNO
11. Ada kalangan media melayu Islam
mengambil pendekatan menakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang
syariat seperti hudud dan lain – lain tanpa penjelasan hikmat, proses
kehakiman dan caranya yang adil. Ada juga yang mengambil pendekatan
semangat perkauman dan agama untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan
sikap sangat bersimpati terhadap PAS, pada hal merekalah tangan yang
menzalimi penyokong PAS selama ini.
12. Dalam masa ini, wujud satu lagi
golongan yang mendakwa ingin menarik undi Melayu Islam di atas nama
Islam, tetapi tujuannya nyata untuk memenangkan BN bukannya memenangkan
Islam. Mereka hanyalah sekadar khadam kepada BN Umno atau askar upahan
dan sebagainya. Hakikatnya mereka hanya bertanding di sejumlah kecil
kerusi sahaja, dan kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh
bertanam dan membina rumah.
13. UMNO yang sangat gelabah dengan
perkembangan mutakhir, mereka mula secara tidak langsung sedang
menggunakan khadam daripada NGO yang berjenama Islam seperti ISMA dan
lain-lain, bertanding di atas nama Islam, dengan tujuan untuk menarik
undi Melayu Islam di kawasan bukan Islam. Tindakan pendek politik ini
hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau UMNO yang sedang
bergelumang dengan kemungkarannya.
14. Sekiranya kita memahami demografi
pengundi dan politiknya, dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang
sangat kecil ini, maka mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding
ini tidak akan membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi
pembangkang. Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat
kemungkaran yang sedang berakar umbi. Caranya bertepatan dengan apa
yang dinyatakan :
كلمة حق أريد بها باطل
Ucapan yang benar, tetapi dikehendaki tujuannya yang salah.
15. Mereka bertanding bukan bertujuan
untuk menang dan mendokong suara Islam dengan berani dan tegas, tetapi
untuk memberi kemenangan kepada kebatilan yang telah berlalu lebih
daripada lima puluh tahun, bermakna sejak belum mereka dilahirkan ke
dunia.
16. Kalau kail hanya sejengkal, jangan
memancing di lautan yang dalam. Politik dalam Islam adalah amanah besar,
perlu dipelajari dan difahami kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam
dan matlamatnya. Ketahuilah bahawa politik Islam itu ada hukum dan
feqahnya, seperti juga feqah sembahyang, haji dan zakat. Rasulullah SAW
mengajar Islam semuanya secara Feqah dan Akhlak (Tasawuf) yang
berlandaskan aqidah (Iman) mematuhi perintah Allah. Firman Allah yang
bermaksud:
"Wahai orang-orang Yang beriman!
masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala
hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." Al Baqarah
208
Marilah kita sama-sama bandingkan dengan
amanat Tun Mahathir : "Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali
daripada berkawan dengan malaikat yang kita tidak kenali".
17. Bolehkah berkawan dengan parti yang
politiknya dipisahkan daripada Islam ? Ada juga yang mencari nasihat
bomoh yang bersahabat dengan syaitan bagi menentukan tarikh pilihan
raya, dan menggoda rakyat dengan wang dan sebagainya untuk menang
walaupun banyak salah lakunya. Allah SWT melarang kita mendekati syaitan
dan jin ini kerana godaannya sangat menarik.
18. Adapun orang yang bukan Islam pula,
terdapat juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh Allah untuk kita
bekerjasama dengan mereka, di atas sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat
yang diwajibkan ke atas masyarakat madani dengan syarat-syarat yang
dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya SAW bagi menegakkan adil terhadap
semua.
19. Fahamilah feqah politik Rasulullah
SAW sebelum tegaknya negara bersama dengan sahabatnya yang setia dan
ikhlas bersama Islam, dan bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut'im
bin 'Adi dan lain-lain yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak
keras kerana masih ada sifat–sifat kemanusiaan. Rasulullah SAW
mengizinkan Abu Bakar RA menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika
berhijrah yang sangat memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf
dengan kalangan bukan Islam ketika menegakkan negara di Madinah.
20. Tahaluf ini juga dilaksanakan oleh
kerajaan Islam di zaman Al Khulafa' Ar Rasyidin dan selepasnya bersama
masyarakat majmuk berbagai agama, termasuk agama yang tidak ada di
negeri arab, berkongsepkan sabda Rasulullah SAW :
وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
سنن الترمذي - (ج 5 / ص 199
Dan orang-orang Islam itu wajib berada
di atas segala syarat yang mereka janjikan, kecuali syarat mengharamkan
yang halal dan menghalalkan yang haram.
21. Rasulullah SAW. menyerang Makkah
walau pun pemimpinnya daripada kalangan bangsanya dan keluarga terdekat,
apabila kabilah Khuza'ah yang bertahaluf denganya telah diceroboh oleh
kalangan yang bertahaluf dengan pemimpin Makkah yang zalim.
22. Fahamilah, bahawa kerjasama PAS
bersama Pakatan Rakyat adalah tahaluf yang diajar oleh Islam, sangat
berbeza dengan kerjasama UMNO (melayu Islam) bersama BN.
23. Syarat-syarat hukum Islam tidak ada
dalam parti kebangsaan seperti Umno, walau pun melayunya Islam.
Jawatankuasa Biro agamanya tidak berhak membuat dasar dan mengatur
strategi, kerana UMNO tertakluk dengan konsep BN yang tidak terikat
dengan konsep politik mengatasi agama atau berkonsepkan politik
dipisahkan daripada agama.
24. Selepas melakukan penipuan dan
rasuah, ianya seolah-olah boleh diselesaikan dengan haji dan umrah
subsidi. Sehinggakan kalangan agamawan dalam UMNO hanya sekadar menjadi
makmum yang tidak boleh membuat kenyataan mendahului imam walau pun
imamnya sudah batal wuduk dan solatnya.
25. Sembahyang tanpa feqahnya menjadikan
seorang yang jahil feqahnya mendahului imam ketika berjamaah dan boleh
berbual, ketawa bersantai ketika bersembahyang. Puasa tanpa feqahnya
hanya sekadar mogok lapar tanpa ibadat. Haji tanpa feqahnya umpama
melontar batu besar dan sepatu merejam kawan bukannya merejam syaitan.
Maka begitulah juga politik tanpa feqahnya hanya sekadar mejadi khadam
kepada musuh Islam atau khadam kepada mereka yang berlarutan zalimnya.
Ya Allah!, lindungilah kami daripada syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Presiden PAS
0 orang berkata:
Post a Comment