Nafi calon PKR terlibat aktiviti tidak bermoral
Azan (duduk tengah) ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PKR Terengganu di Jalan Pejabat di sini semalam.
 
KUALA TERENGGANU - Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menafikan calon PKR terlibat kesalahan jenayah dan aktiviti tidak bermoral termasuk mengedar dadah.

Berdasar kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramah beliau bahawa terdapat calon mengedar pil kuda, dengan menyifatkan orang Pas tidak boleh menerima calon sedemikian, Azan menjelaskan, tiada calon PKR terlibat dan pihaknya telah membuat saringan ketat sebelum memilih calon bertanding.

“Sebenarnya bukan sahaja PKR Terengganu, PKR Pusat pun membuat saringan ketat. Pakatan Rakyat (PR) di peringkat Pusat dalam proses pemilihan calon masing-masing, memang wujud saringan yang amat ketat antaranya dari sudut kelayakan mereka sebagai calon yang akan bertanding.

“Saya menafikan ada antara calon-calon yang kita ketengahkan terlibat ataupun pernah terlibat, atau sedang terlibat dengan segala aktiviti sebagaimana yang dikatakan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PKR Terengganu, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan siasatan rapi untuk memastikan ia tidak bersifat menganiaya atau tidak adil kepada calon-calon.

Mengulas lanjut, Azan tidak menolak bahawa penarikan diri tiga calon di Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi adalah untuk mengelak tanggapan negatif sedemikian, walaupun calon PKR yang diputuskan sebelum ini tiada kena mengena dengan aktiviti tidak bermoral itu.