Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

CADANGAN ORANG BEBAL YANG DANGKAL

Mungkinkah Umno-Pas bergabung?
DR ISMAIL IBRAHIM
11 Mei 2013
Dr Ismail Ibrahim
Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim
 
PEMBICARAAN tentang gabungan Pas dan Umno bukanlah berdasarkan kesatuan bangsa seagama untuk menentang kaum yang lain, dalam erti kata, Melayu haruslah bersatu secara bersendirian. Kerana di dalam masyarakat majmuk Malaysia ini, tidak mungkin wujud kesatuan satu kaum saja untuk membangunkan negara dan hidup bersama secara aman damai serta berkongsi kuasa untuk pemerintahan negara ini. Tetapi gabungan itu ialah untuk menyatukan kefahaman dan amalan Islam, yang selama ini kerana perbezaan pentafsiran dan agenda keutamaan Islam diantara dua parti tersebut telah membawa kepada pertentangan dua parti Melayu Islam itu yang merugikan kebangkitan dan pembangunan Islam itu sendiri.

Perpecahan umat Islam dalam politik, sesungguhnya merugikan Islam dan umatnya sendiri dalam usaha membangunkan agama dan sekali gus membangunkan umatnya dalam segala bidang persaingan di dalam negara berbilang kum ini iaitu dalam bidang pendidikan, perekonomian, keilmuan, sains dan teknologi, malah kebangkitan Islam itu sendiri sebagai satu faktor kemajuan umatnya serta tamadunnya.

Percantuman umat Islam dari kedua-dua parti politik ini sebenarnya akan menjadi asas kekuatan rakyat Malaysia sendiri kerana Islam adalah agama universal yang mempunyai ciri-ciri keadilan dan kesaksamaan kepada orang bukan Islam yang bersedia untuk hidup bersama secara aman damai dengan orang Islam, malah kekuatan itu akan mempercepatkan pembangunan negara dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.

Kesatuan dua parti Islam dan Melayu ini bukan hanya sekadar menyelaraskan aktiviti politik dan pentadbiran negara, tetapi yang pentingnya ialah membangunkan Islam sebagai satu jentera kemajuan, terlepas dari kefahaman tentang Islam yang begitu disempitkan, dan sekali gus dapat memberi sumbangan kepada negara dan dunia umumnya tentang nilai-nilai dan pendorong yang global serta universal dalam mewujudkan masyarakat umat Islam yang kuat, dinamik dan aman damai dalam dunia antarabangsa pada hari ini.

Kita melihat pada masa kini bahawa Pas dan Umno masing-masing mempunyai peruntukan dalam parti mereka untuk melaksanakan agenda bagi pembangunan agama, bangsa dan negara. Tujuan asal ini merupakan agenda perjuangan kedua-dua parti, yang kalau dapat diselaraskan di antara keduanya, hasilnya tentulah amat positif.

Oleh itu saya rasa, Pas dan Umno, haruslah mengamalkan konsep syura dan perundingan yang serius bagi menjelaskan agenda dan pelan kerja masing-masing dalam mengisi dan merialisasikan objektif parti masing-masing tentang perjuangan agama, bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, maka segala pentafsiran tentang perbezaan teras tentang pegangan dan amalan agama di antara kedua-dua parti itu haruslah dielakkan, malah kedua-duanya mestilah mengambil sikap bertolak ansur dan tawar-menawar bagi mendapatkan kesefahaman tentang agenda perjuangan masing-masing yang dapat diselaraskan, kemudiannya disatukan.

Segala prasangka dan andaian di antara kedua-dua parti ini yang sering menjadi persepsi, sama ada betul atau salah, tentang amalan Islam dari kedua-duanya hendaklah dibincangkan dengan penuh ilmu, hikmah dan ikhlas.

Kedua-dua parti ini tentulah tidak mungkin menerima sebarang hukuman atau fatwa dari parti lawan mereka yang menyentuh akidah masing-masing, yang merupakan satu perkara yang amat sensitif bagi orang Islam apabila menerima tuduhan sebagai golongan yang tercemar akidah atau imannya.

Oleh itu, perkara pertama yang seharusnya diselesaikan oleh kedua-dua parti ini ialah membersihkan segala andaian dan tohmahan terhadap sesama sendiri mengenai isu akidah dan syariah yang selama ini mungkin menjadi penghalang, terutamanya kepada parti Pas untuk menerima Umno yang dianggap tidak berjuang di atas landasan Islam sedangkan Umno sendiri boleh membuktikan kepada Pas bahawa agenda keislaman yang dilakukan oleh mereka selama ini adalah merupakan agenda keislaman yang sejati, jauh dari sesuatu yang mensyirikkan parti itu, atau terkeluar dari amalan keagamaan dan kerohaniannya.

Hanya dengan membersihkan segala prasangka dan prejudis yang membawa kepada pertentangan atau permusuhan di antara kedua-dua parti ini sahajalah yang memungkinkan tertegaknya asas kesatuan umat Islam dari kedua-dua parti tersebut.

Tegasnya dalam hal ini kedua-dua parti tersebut haruslah rela "memberi dan menerima", bertolak ansur dalam isu-isu yang selama ini merupakan duri dalam daging bagi kedua-duanya.

Dalam hal ini, para pemimpin dan ketua kedua-dua parti ini hendaklah segera duduk bersama, berbicara, berbincang, berdialog dan bertukar pandangan, berlapang dada supaya satu kata sepakat dapat dicapai.

Setelah itu, kita bolehlah berdoa kepada ALLAH SWT agar dibukakan peluang untuk umat Islam di Malaysia yang kecil ini bersatu dan bergerak bersama, dengan segala keadilan dan kesaksamaan untuk umat Islam dan umat lain di negara kita ini kerana Islam sendiri mempunyai formula kehidupan bersama di antara orang Islam dan bukan Islam dalam satu komuniti dan dalam satu negara seperti negara kita ini.

* Datuk Dr Ismail Ibrahim merupakan bekas Ketua Pengarah Ikim

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.