KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan hari ini mengumumkan portfolio 11 anggota exco kerajaan negeri yang baru.
  
Senarai itu diumum oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob selepas mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan yang dipengerusikan Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  
Ahmad berkata beliau memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan manakala Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli.
  
Ahmad dan timbalannya serta sembilan lagi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mengangkat sumpah sebagai exco di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini, Isnin lepas.
  
Beliau berkata empat daripada exco yang dilantik itu ialah muka baharu iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit Mumtaz Md Nawi yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat; dan Adun Bunut Payong Dr Ramli Mamat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dua lagi muka baharu ialah Adun Pengkalan Pasir Hanifa Ahmad yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat; dan Adun Meranti Datuk Mohd Nassuruddin Daud sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau.
  
Lima lagi portfolio yang diumum ialah Adun Bukit Panau Datuk Abdul Fattah Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar); Adun Wakaf Bharu Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau).
  
Adun Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat); Adun Kemahang Datuk Md Anizam Abdul Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan); dan Adun Temangan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi). - Bernama