Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof meletakkan jawatan ekoran kegagalan badan itu mengadakan pilihan raya yang "bersih".

Dakwa beliau, kegagalan SPR itu apabila dakwat kekal yang dijamin tidak luntur dalam tempoh lima hari tidak berlaku.


"Dakwat kekal yang tidak kekal ini adalah bukti jelas bahawa proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dikendalikan oleh SPR adalah tidak telus.


"Dakwat hitam yang dikatakan kekal bertahan selama lima hari rupanya hanya indah khabar dari rupa," dakwanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres PKR ke-9, di sini, hari ini.


Beliau yang kesal dengan tindakan SPR itu mendakwa, badan tersebut tidak ikhlas melaksanakan tuntutan rakyat, bahkan memberikan alasan tidak munasabah berhubung ekoran dakwat tidak kekal.


"Lebih mengejutkan alasan-alasan yang diberikan SPR sekadar untuk menutup penipuan ini kononnya botol dakwat tersebut perlu digoncang terlebih dahulu sebelum digunakan.


"Sedangkan banyak laporan diterima bahawa dakwat hitam tersebut tidak berkesan dan ada pengundi yang mendakwa dakwat hilang sebaik saja dibasuh beberapa minit selepas mengundi," dakwanya.


Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan seperti yang dijalankan di Sabah.


Katanya, RCI itu perlu dijalankan kerana didakwanya berlaku salahguna semasa pilihan raya lalu.


"PKR mencadangkan supaya ditubuhkan satu RCI bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan sepertimana yang terbukti berlaku di Sabah agar diperluaskan ke seluruh negara," katanya.