Najib lawat Azizan di HPP
1 Rejab 1434 H. [MOD] -
GEORGE
TOWN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat bekas
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak di wad unit rawatan
rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Najib
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 1.30 tengah hari
dan meluangkan masa bersama Azizan dan anggota keluarganya kira-kira 15
minit.
"Saya
baru melawat Azizan dan Alhamdulillah pembedahan sudah
berlangsung.Beliau dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan
terbaik," katanya kepada pemberita di sini.
Najib berdoa agar Azizan yang melalui pembedahan yang agak serius supaya cepat sembuh dan pulih.
"Sebagai
pemimpin, walaupun Azizan dalam parti yang lain, saya hormati beliau
sebagai sahabat. Terima kasih kepada ahli keluarganya kerana terima
kedatangan saya dengan baik," katanya.
Najib
berkata bantuan yang sepatutnya akan dihulurkan kepada Azizan untuk
memastikan tidak ada masalah daripada segi perbelanjaan.
Sementara
itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut melawat Azizan
pada kira-kira 11.20 pagi tadi bersama-sama isterinya Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah
yang baru.
Sementara
itu, setiausaha akhbar kepada Azizan, Mohd Helmi Khalid meminta jasa
baik kepada orang ramai yang ingin melawat Pesuruhjaya Pas Kedah itu
tidak berbuat demikian bermula esok bagi memberi ruang kepada beliau
untuk berehat.
"Saya
mewakili ahli keluarga beliau (Azizan) meminta orang ramai memberi
kerjasama kerana kita ingin memberi keselesaan kepada pesakit atas
nasihat pihak hospital," katanya.
Beliau
berkata keadaan kesihatan Azizan menunjukkan pekembangan positif dan
beliau telah membuka mata sebanyak empat kali dari pukul 6.30 pagi
hingga 8.30 pagi ini.
Mohd
Helmi turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir pengunjung yang
memuat naik gambar Azizan dalam keadaan sakit di laman sosial dan
berharap kejadian itu tidak berulang lagi bagi menghormati anggota
keluarga beliau.
Azizan,
69, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, menjalani
pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit
kencing manis pada Khamis lepas.
Beliau
dipindahkan ke HPP pada Rabu lepas dari Kedah Medical Centre selepas
dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin lalu.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment