Mohamad Mat Yusop
Mohamad Mat Yusop
SHAH ALAM - Polis menyeru sesiapa yang mempunyai rakaman video atau gambar berkaitan serangan yang dilakukan oleh kira-kira 80 individu terhadap 54 pekerja warga asing yang disyaki pengundi hantu dalam kejadian di Jalan Young, Pandamaran, Klang, kelmarin untuk tampil segera membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti identiti kumpulan individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, bilangan mereka yang terlibat terlalu ramai dan sewaktu kejadian, polis tidak berada di situ.

"Sukar untuk kita ketahui dan kenal pasti identiti mereka yang menyerang.

"Namun, kita berharap sesiapa yang ada merakamkan gambar atau video ketika kejadian, dapat menyerahkan bahan tersebut bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke mana-mana balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Daerah Klang Selatan, Deputi Superintendan
Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid di talian 03-33762222.

Katanya, bahan bukti seperti video dan gambar kejadian sangat penting kerana boleh membantu polis untuk membuat tangkapan terhadap mereka yang terlibat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, keterangan sebahagian daripada pekerja warga asing terbabit juga sudah diambil untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana
merusuh.

"Keterangan tujuh daripada 54 pekerja asing yang tercedera sewaktu kejadian akan dirakamkan dalam tempoh terdekat sebaik mereka disahkan pulih sepenuhnya," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 3.45 petang kelmarin, kira-kira 80 individu bertindak membaling objek keras pada sebuah bas yang membawa seramai 54 pekerja warga asing yang dalam perjalanan pulang ke asrama di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Kumpulan individu itu kemudiannya naik ke atas kenderaan tersebut dan memukul pekerja yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar, menyebabkan tujuh orang cedera.
Serangan dilakukan kerana kumpulan individu itu menyangka semua pekerja warga asing yang berada dalam bas adalah pengundi hantu.