Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Pemerhati: Bukan ahli politik boleh wakili masyarakat Cina dalam kabinet

8 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Individu bukan ahli politik dilihat boleh diterima sebagai wakil masyarakat Cina dalam Kabinet akan datang, kata beberapa pemerhati politik.
  
Mereka berkata langkah itu amat sesuai bagi mewujudkan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet setelah mereka dikatakan enggan diwakili anggota parti berasaskan kaum Cina yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN).
  
Langkah itu mungkin boleh diberi pertimbangan, sejajar dengan misi pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan usaha penyatuan nasional apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menunjukkan kebanyakan anggota masyarakat Cina memihak kepada pembangkang.
  
Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Faisal S. Hazis berkata adalah sesuatu yang baik sekiranya kerajaan dapat memecahkan budaya partisan berhubung pelantikan wakilan dalam Kabinet dan tidak mengehadkan ia hanya dianggotai mereka yang terpilih sebagai anggota parlimen.
  
"Keanggotaan dalam Kabinet perlu berdasarkan merit...pada pendapat saya, ia memerlukan mereka yang berwibawa, boleh memberi khidmat dan mampu menjayakan agenda yang ditetapkan perdana menteri untuk lima tahun akan datang," katanya.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Faisal berkata perdana menteri juga perlu beralih daripada tradisi selama ini yang memberi jawatan Kabinet sebagai ganjaran kepada parti politik.
  
Sebaliknya, beliau perlu melihat lebih jauh daripada spektrum politik untuk memastikan Kabinet yang dibentuk mampu mendapat kepercayaan rakyat.
  
Katanya PRU13 memaparkan, antara lain, ketidakpuasan hati masyarakat Cina tentang perwakilan mereka dalam kerajaan.
  
"Oleh itu, perubahan ketara perlu dilakukan untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka akan melihat perubahan sebenar dalam barisan Kabinet akan datang," kata Faisal.
  
Melalui PRU13 pada Ahad lepas, MCA memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan hanya 11 daripada 90 kerusi negeri yang ditandinginya. Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi negeri.
  
Gerakan pula hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang ditandinginya, dan tiga kerusi negeri iaitu Pemanis di Johor dan Tanjong Papat serta Elopura di Sabah, daripada 31 kerusi yang ditandinginya.
  
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya prestasinya pada PRU13 lebih teruk daripada PRU12.

Resolusi itu, yang dicapai pada Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA sebelum berlangsungnya PRU13, menyebut tentang keputusan parti berkenaan yang tidak akan menerima sebarang jawatan Kabinet sekiranya ia memenangi kurang daripada 15 kerusi Parlimen seperti pada PRU 2008.
  
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula berkata pelantikan anggota Kabinet, yang terdiri daripada mereka yang bukan ahli politik, adalah sesuatu yang wajar, lebih-lebih lagi apabila MCA membuat keputusan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan.
  
Secara ideal, kata beliau, langkah itu perlu dilaksanakan sehinggalah MCA dan Gerakan - yang mewakili masyarakat Cina - kembali pulih.
  
"Kerajaan BN boleh memilih seseorang untuk mewakili masyarakat itu dan paling penting, individu berkenaan mestilah yang boleh diterima banyak pihak dan beliau bukanlah ahli politik, untuk memulihkan keyakinan masyarakat Cina.

"Oleh kerana Sabah dan Sarawak memberi sumbangan besar kepada kejayaan BN, maka anggota Parlimen mereka wajarlah diberi portfolio penting dalam Kabinet sebagai suatu bentuk penghargaan kepada pemilih yang mengundi mereka," katanya.
  
Pemerhati politik bebas Haniff Ghazali berpendapat perdana menteri patut mempunyai barisan Kabinet yang dianggotai ahli politik, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan barangkali juga, penjawat awam atau pesara perkhidmatan awam.
  
"Di Hong Kong, sudah menjadi suatu amalan bagi kerajaan untuk meletakkan orang terbaik menerajui semua kementerian penting. Memanglah, terdapat lebih ramai ahli politik, tapi bukankah tugas utama setiap wakil rakyat adalah untuk berkhidmat di kawasannya?  

"Jadi, biarlah mereka berada di kawasan masing-masing. Biarlah mereka berkhidmat kepada rakyat yang memilih mereka," kata Haniff, yang kini menetap di Hong Kong. - Bernama

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.