Muhyiddin: Umno perlu transformasi radikal
11 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Umno perlu melalui satu proses transformasi politik yang
lebih komprehensif dan radikal untuk mendepani pelbagai cabaran yang
muncul bersama peredaran zaman, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Beliau menegaskan untuk menjadi sebuah parti politik Melayu Islam dan
Malaysia yang lebih dinamis, inklusif dan berwawasan, parti keramat
orang Melayu itu perlu lebih universal dari segi perjuangan tanpa
melupakan objektif asal penubuhannya.
Untuk itu, katanya golongan kelas menengah Melayu serta generasi muda
yang citra dan pemikiran mereka berbeza dengan generasi awal yang
membina asas dan mencorak hala tuju Umno perlu disantuni dan didampingi
secara lebih dekat.
"Golongan kelas menengah yang menghuni bandar-bandar besar merupakan
pasak kekuatan Umno yang baru. Dengan berdampingan bersama generasi
muda, parti akan mendapat suntikan semangat dan idea-idea baharu untuk
terus memperkukuh perjuangan Umno seiring peredaran zaman," katanya
dalam perutusan sempena ulang tahun ke-67 Umno malam ini. Sambutan ulang tahun itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Muhyiddin berkata bagi memastikan proses peremajaan Umno berlaku lebih
pantas, parti itu perlu membuka ruang yang lebih luas kepada generasi
muda, kumpulan profesional dan golongan kelas menengah Melayu untuk
bergiat secara lebih aktif dalam Umno.
Beliau berkata bukan sahaja kemasukan mereka ke dalam Umno mesti
dialu-alukan, malah mereka juga perlu dibimbing untuk mengambil peranan
yang lebih besar dalam parti seterusnya menerajui parti pada masa
hadapan.
Muhyiddin juga menekankan perlunya parti komponen dalam Barisan
Nasional (BN) melakukan proses perubahan yang lebih besar untuk
memastikan mereka diterima oleh semua kaum di negara ini.
"Mereka perlu lebih peka membina parti yang lebih berpadu serta membina
kerjasama strategik dengan Umno agar BN disokong dengan lebih kukuh
oleh rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang bertindak selaku Pengarah Pilihan Raya
BN pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir Ahad lepas, turut
merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong parti yang
bekerja keras untuk memastikan kemenangan Umno dan BN.
Beliau berkata komitmen itu memastikan kedudukan Umno bertambah kukuh
dengan kejayaan meningkatkan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan
Negeri yang
dimenangi kepada 88 dan 241 kerusi pada pilihan raya itu berbanding 79 dan 238 kerusi pada 2008, selain berjaya merampas Kedah daripada pembangkang.
"Umno mempunyai tempoh selama lima tahun sebelum sekali lagi berhadapan
pilihan raya umum bagi memperoleh mandat rakyat untuk terus menerajui
negara yang mana ia menjadi titik penentuan penting kelangsungan Umno
sebagai parti keramat orang Melayu.
"Dalam tempoh yang singkat ini setiap peringkat kepimpinan Umno
daripada pusat, negeri hinggalah bahagian dan cawangan perlu
bermuhasabah melakukan pembetulan dan bertindak untuk memastikan Umno
dapat terus mengungguli perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan
negara yang tercinta," katanya.
Muhyiddin turut mengajak seluruh anggota Umno untuk menumpahkan taat
setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan Datuk Seri Najib Tun
Razak selaku Presiden Umno.
"Sempena ulang tahun Umno yang ke-67 ini, marilah kita menumpahkan taat
setia kepada parti, marilah kita memberikan sokongan padu kepada Datuk
Seri Najib untuk terus menerajui parti dan negara," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment