BESUT - Dua penagih bertindak mengugut anggota keluarga sendiri dengan parang bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah dalam dua kejadian berasingan di Kuala Besut dan Tembila di sini minggu lepas.
  
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata dalam kes pada Jumaat lepas, seorang ibu nyaris maut apabila anak lelaki beliau yang berusia 27 tahun melibas parang ke arah wanita itu dan anak perempuannya di rumah mereka di Kampung Tembila Hilir di sini pada 8 pagi itu.
  
Beliau berkata mangsa yang berusia 68 tahun terkejut apabila suspek bertindak di luar batasan selepas permintaannya untuk membeli pil kuda tidak dipenuhi.
  
"Mangsa dan anak perempuannya sempat mengelak dan libasan parang suspek tidak mengenai kedua-dua mangsa sebelum mereka mencari tempat untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Noor Zainy berkata suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun ibunya sebelum beredar.

"Bimbang dengan keselamatan dirinya dan tidak tahan dengan tindakan suspek menyebabkan warga emas itu tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja sejurus selepas kejadian," katanya.
  
Noorzainy berkata polis memberkas suspek di Kampung Seri Medang sehari kemudian dan merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
  
Beliau berkata dalam satu lagi kes berasingan, seorang lelaki ditahan pukul 10.40 pagi pada 2 Jun lepas di tepi jalan Kampung Seberang Kastam kerana disyaki mengamuk dengan sebilah parang selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah.
  
Dalam kejadian itu, suspek bertindak membawa sebilah parang, membaling batu dan memecahkan pinggan mangkuk di dalam rumahnya di Kampung Tengah, Kuala Besut kerana marah tidak diberi wang oleh keluarga.
  
"Suspek juga didakwa cuba menyerang bapa tirinya yang berusia 58 tahun dan anggota keluarga lain, namun mereka sempat menyelamatkan diri," katanya sambil menambah ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
  
Beliau turut menasihati orang ramai yang mempunyai anggota keluarga penagih dadah agar menghubungi polis dengan segera, atau agensi berkaitan, agar tindakan wajar dapat diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. - Bernama