Johor kumpul dana RM23 juta untuk ambil balik tanah di Senibong
09/06/2013 2:53pm
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor melalui syarikat berkaitan
kerajaan negeri (GLC) Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sedang
mengumpul dana sebanyak RM23 juta bagi pengambilan balik tanah seluas 14
hektar di kawasan Senibong daripada syarikat Tebrau Teguh Berhad.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi
menunaikan janji kerajaan negeri di bawah bekas Menteri besar Datuk
Abdul Ghani Othman sebelum ini untuk memberikan hakmilik tanah kepada
penduduk Kampung Senibong.
"Kerajaan memang sedang menyelesaikan permohonan yang dikemukakan
penduduk kampung tersebut dan untuk itu kita sedang mengumpul dana
sebanyak RM23 juta bagi tujuan ambil balik tanah bagi menyempurnakan
janji kerajaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
agung kali ke-2 Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad di
sini hari ini.
Katanya pihak Tebrau Teguh memahami janji kerajaan kepada penduduk
kampung yang terlibat dan tahu memang sudah terdapat permohonan hakmilik
tanah oleh penduduk kampung semasa mengambil alih tanah yang terlibat
daripada KPRJ.
Oleh yang demikian, Khaled berharap Tebrau Teguh tidak melakukan
apa-apa transaksi di atas tanah yang telah dijanjikan kerajaan itu
termasuk di Kampung Rumah 10, Kampung Plentong, Kampung Plentong Baru
dan Kampung Sri Bahagia.
Permohonan hakmilik tanah di kampung-kampung tersebut, katanya akan
menjadi keutamaan kerajaan negeri dan diselesaikan secara berperingkat. -
Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment