SHAH ALAM - Polis Selangor sedang memburu tiga suspek lelaki warga asing bagi membantu siasatan tiga kes bunuh yang berlaku di sekitar negeri ini, pada April dan Mei lepas.
  
Ketua Polis Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua suspek mengenali mangsa, termasuk seorang daripadanya dipercayai suami kepada si mati.
  
Beliau berkata suspek pertama dikenali sebagai Tin Than Maung, 36, yang merupakan teman sebilik kepada mangsa dalam kejadian di SS15 Subang Jaya dekat sini, pada 25 April lepas.
  
"Dalam kes ini, mangsa yang bekerja sebagai tukang baiki pendingin hawa ditemui dengan kesan tikaman di dada di dalam bilik yang disewa dengan suspek terbabit," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
  
Beliau berkata suspek kedua dikenali sebagai Myo Tun, 37, warga Myamnar dipercayai terlibat dalam kes bunuh yang berlaku pada 7 Mei lepas, di Kampung Sri Indah, Sungai Buloh.

Mohd Adnan berkata suspek merupakan rakan serumah mangsa dan dilaporkan bergaduh dengan mangsa yang juga rakan senegaranya serta bertindak melarikan diri selepas kejadian itu.
  
Beliau berkata seorang lagi suspek yang diburu polis ialah lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Parman berumur 30-an, dipercayai suami kepada mangsa seorang wanita rakyat Indonesia.
  
"Mangsa bekerja sebagai penjual sayur ditikam di rusuk kiri dan bahagian belakang dalam kejadian di Seri Kembangan, juga pada 7 Mei lepas. Kita percaya suspek adalah suami atau mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa," katanya. - Bernama