Sunday, June 9, 2013
Suami Megawati Sukarnoputri meninggal dunia
JAKARTA: Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, Encik Taufik
Kiemas, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH) semalam.
Allahyarham Taufik, 70 tahun, merupakan suami mantan presiden Indonesia
yang juga pemimpin Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Cik
Megawati Sukarnoputri.
Salah seorang kakitangan Encik Taufik memberitahu laman berita
Kompas.com bahawa Allahyarham meninggal dunia pada pukul 7.01 malam
waktu Singapura atau jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat.
Dalam catatan akaun Twitternya, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan
Indonesia yang juga tokoh kanan PDI-P, Encik Pramono Anung, menulis
bahawa Allahyarham telah meninggal dunia dan diminta mengampuni
kesalahan serta mendoakan beliau.
Awal semalam, laman akhbar Jakarta Globe melaporkan terdapat khabar
angin yang mengatakan Encik Taufik meninggal dunia tetapi berita itu
dinafikan Setiausaha Agung PDI-P, Encik Tjahjo Kumolo.
Menurut Encik Tjahjo, ketika itu Encik Taufik sedang dirawat di SGH
kerana kepenatan setelah melakukan lawatan kerja ke Ende, Nusa Tenggara
Timur, pada 1 Jun lalu.
Beliau ke sana kerana menemani Naib Presiden Boediono merasmikan Monumen Bung Karno dan tapak Rumah Pengasingan Bung Karno.
Allahyarham dilahirkan di Jakarta pada 31 Disember 1942 dan meninggalkan
seorang balu dan tiga anak - Encik Mohammad Rizki Pratama; Encik
Mohamad Prananda Prabowo dan Cik Puan Maharani Nakshatra Kusyala, lapor
laman berita Kompas.com.
Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono dan isterinya, Wanita
Pertama, Cik Ani Yudhoyono, telah menyampaikan rasa dukacita atas
pemergian Allahyarham.
Menurut laporan laman berita Republika Online, Dr Yudhoyono dan isteri
juga turut menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham.
Sementara itu, laman Kompas.com melaporkan Encik Tjahjo sebagai berkata
bahawa jenazah Allahyarham akan diterbangkan pulang ke Indonesia jam 9
pagi hari ini (waktu Singapura) dan disemadikan di samping kubur orang
tuanya di Taman Makam Pahlawan Kalibata.



0 orang berkata:
Post a Comment