Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

[BERGAMBAR & VIDEO] Penamaan Calon PRK Kuala Besut: Satu Lawan Satu


Hanya PAS dan Barisan Nasional (BN) sahaja mengemukakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Pada penamaan yang berakhir sebentar tadi, PRK Kuala Besut menyaksikan pertembungan antara calon PAS, Azlan @ Endot Yusof dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Pegawai pengurus PRK N01 Dun Kuala Besut itu, A. Rahim Jusoh, Azlan ketika mengumumkan demikian berkata, Azlan mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi, diikuti Tengku Zaihan tujuh minit kemudian.

Beliau menjelaskan bahawa tiada calon yang ditolak sehingga waktu penamaan ditutup jam 10 pagi.

Penamaan calon bagi PKR Kuala Besut diadakan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. -HD


LAPORAN DARI MALAYSIAKINI


Hari ini bermula kehangatan di Kuala Besut dengan penamaan calon bagi menggantikan bekas ADUN Datuk A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Cuaca mendung, hujan renyai-renyai serta tiupan angin Laut Cina Selatan bakal menambah lagi semangat calon dan penyokong yang tetap berkumpul sekalipun dalam bulan Ramadan.

Calon PAS Azlan Yusof adalah ahli perniagaan bersama kepimpinan parti itu berhimpun di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Agama Daerah Besut.

Mereka bergerak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan calon - Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, Besut.

Manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diiringi kepimpinan parti berkumpul di Rumah Ahmad Saleh - kira-kira 700 meter daripada pusat penamaan calon.

Masa penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan itu terkenal sebagai kawasan kubu kuat BN.

Kemenangan kali ini penting bagi kedua-dua pihak memandangkan perbezaan kerusi cuma dua di peringkat negeri.

Ini bermakna, jika PAS menang, keputusan akan menjadi 16-16, sekali gus menyebabkan situasi DUN 'tergantung'.

LAPORAN LANGSUNG

10.25 pagi: Pegawai Pengurus pilihan raya A Rahim Jusoh berkata beliau berpuas dengan kertas borang pencalon dan tiada kertas calon ditolak.

Sehubungan itu, katanya, dua calon akan bertanding dalam pilihan raya umum DUN Kuala Besut iaitu Tengku Zaihan dan Azlan Yusof.

Sementara itu, Nik Aziz beredar Kompleks Rakan Muda dan diiringi laungan takbir dan solawat.

10.06 pagi: Penyokong BN tetap setia menunggu diluar kompleks rakan muda kini mengibar-kibar bendera BN sambil menyanyi lagu Umno.

Tepat jam 10 pagi, SPR mengumumkan penamaan calon secara rasminya tamat. Dengan itu, sahlah pertandingan dua penjuru anara Tengku Zaihan dan Azlan.

9.45 pagi: Perkarangan Kompleks Rakan Muda - Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kemenangan PAS di Kuala Besut akan "membantu Idris Jusoh" yang didakwanya "bertembung" dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini kerana Mat Said dilihat tidak mempunyai agenda politik yang mantap. Tidak membawa banyak kemajuan.

"Beliau masih kekal jadi MB tetapi berbeza pendapat dengan Idris Jusoh. Dengan kemenangan ini, kedudukan Mat Said akan tergugat... Masih tak boleh tukar MB sebab dia (Mat Said) terlalu kuat.

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," katanya.

Sementara itu, di luar Kompleks Rakan Muda, penyokong PAS bertakbir, bertahmid, dan bertasbih dan melaungkan hidup Islam.

Penyokong PAS kini mencecah 3,000 orang. Cuaca tadi yang mendung, kini sudah mula panas terik.

9.38 pagi: Abdul Hadi Awang beredar daripada pusat penamaan calon kerana akan bertolak ke luar negara hari ini.

9.23 pagi: Kelihatan seperti pertembungan dua penjuru PAS-BN di Kuala Besut ekoran hanya dua pihak kelihatan di pusat penamaan.

Selepas bercakap kepada media, calon kedua-dua parti kini menunggu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan proses penamaan calon.

Masa pencalonan sehingga 10 pagi.

9.20 pagi: Suasana diam penyokong PAS pada awalnya berubah. Mereka mula bertakbir dan melaungkan slogan "hidup Islam" apabila Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sampai ke pusat penamaan calon.

Beliau diiringi dua pengawal dan beberapa kepimpinan PAS, antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulama Nik Zawawi Salleh.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan kepimpinan Pakatan yang sedia menunggu di dalam khemah di luar pusat mengundi.

Sementara itu, di pihak BN, mereka melaungkan slogan "Gelombang Biru", melambangkan warga parti itu.

9.15 pagi: Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Datuk Husam Musa tiba di kompleks rakan muda.

9.05 pagi: Luar Kompleks Rakan Muda - Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut ketika ditemui Malaysiakini bersyukur kerana perjalanan perarakan dan penamaan calon berjalan lancar dalam suasana tenang.

"Hari ini nampak OK, kita akan terus dengan kempen kita berjalan walaupun di bulan puasa. Kita dah susun program Pemuda, Muslimat dan lain-lain.

"Saya selalu kata, pilihan raya ini penting untuk menentukan (calon) Dewan Undangan Negeri... Insya-allah boleh mencapai kemenangan," katanya.

Turut sabar menanti di luar pusat penamaan calon Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausah Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut berada di khemah luar isteri kepada Azlan Yusof, bersama-sama keluarganya.

9.00 pagi: Diketuai Muhyiddin, Tengku Zaihan dan 2,000 penyokong BN berarah ke pusat penamaan calon. Hujan telah berhenti. Mereka senyap tanpa sebarang slogan dan laungan kata.

8.55 pagi: Sebelum perarakan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berucap menggesa para penyokong mengundi calon BN pada 24 Julai.

Beliau berjanji kerajaan negeri akan terus membangunkan Kuala Besut seperti yang diharapkan oleh rakyat.

8.50 pagi: Tiga penyokong BN termasuk ke dalam lorong ke arah penyokong PAS dan disorak oleh penyokong PAS.

Hujan renyai-renyai akhirnya berhenti, tetapi langit masih mendung.

8.44 pagi: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Vincent Wu tiba di pusat penamaan calon, dengan Lim melambai ke arah penyokong PAS, yang telah meningkat kepada lebih 2,000 orang.

Turut memasuki pusat penamaan calon adalah bekas exco Selangor Ronnie Liu.

8.40 pagi: TPM Muhyiddin Yassin bari tiba di tempat perhimpunan BN dengan kereta rasminya, 20 minit sebelum penamaan calon.

Beliau tiba bersama-sama dengan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Harun dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Pelajaran Kedua Datuk Idris Jusoh dan Pemangku Presiden Gerakan Chang Ko Youn juga hadir.

8.30 pagi: Kompleks Rakan Muda - calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tiba di tempat berhimpun.

Hujan renyai-renyai dan terdapat hanya kira-kira 500 orang berkumpul di sini 30 minit sebelum penamaan calon.

Walaupun banyak kemah disediakan, tetapi ramai kelihatan berdiri di luar dengan memakai payung.

Mereka sedang menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin berarak ke pusat penamaan calon kira-kira 700 meter dari situ.

8:25 pagi: Kompleks Rakan Muda - Calon PAS Azlan Yusof tiba di pusat penamaan calon.

Tiga minit kemudian, beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS yang lain, ke pusat penamaan calon.

Penyokong PAS dan BN dipisahkan pada jarak 100 meter.

8:10 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - penyokong PAS memasuki Jalan Tembila, sambil melaungkan takbir ketika menuju ke Kompleks Rakan Muda, iaitu kira-kira 1 km dari sini.

Bilangan penyokong mencecah kira-kira 1,500.

8:05 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan calon PAS, Azlan Yusof ke pusat penamaan calon ketika hujan renyai-renyai berterusan. Turut mengiringi Azlan ialah Mengiringi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS Terengganu.

8:00 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai itu tidak menghalang kira-kira 300 penyokong PAS menunggu ketibaan Abdul Hadi Awang dan Azlan yang kini berada di Masjid Kg Raja menunaikan solat hajat.

7:30 pagi: Kompleks Rakan Muda - Sekurang-kurangnya 200 anggota polis dilihat sama ada berkumpul atau mengawal tempat pemeriksaan di sekitar pusat penamaan calon, termasuk beberapa anggota unit anti-rusuhan (LSF).

Sebuah helikopter polis juga dilihat berligar di udara.

Malaysiakini juga ternampak beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon, tetapi tidak pasti di mana mereka ditugaskan.

7:30 pagi: Persimpangan Jalan Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai turun dan penyokong PAS mula berkumpul di persimpangan tersebut.
-mk



PRK Kuala Besut ulang sejarah 34 tahun lalu


KUALA BESUT - Penamaan calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, mengulangi sejarah 34 tahun lalu, apabila dua calon parti yang sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.

Pada 1979, pilihan raya kecil diadakan untuk Dun Kuala Besut juga dalam bulan Ramadan berikutan kematian wakil rakyatnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut pagi ini.

Calon Pas Endot@Azlan Yusof, 48, menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya A.Rahim Jusoh pada jam 9.03 pagi manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut mengetuai kira-kira 3,000 penyokong mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon manakala calon Pas pula diiringi bilangan penyokong yang seimbang diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Calon BN yang mengenakan baju kebangsaan Melayu serba biru memasuki pusat penamaan calon dengan diiringi Datuk Wan Zakaria Abd Rahman selaku pencadang, dan Roslan Ayob sebagai penyokong manakala calon Pas yang berbaju hijau hadir bersama Ayat Hadi Mamat sebagai pencadang dan Zulkarnain Abdullah sebagai penyokong.

Hujan gerimis sejak awal pagi dan kehadiran Ramadan tidak menghalang kedua-dua penyokong parti berarak ke pusat penamaan calon yang mula dibuka pukul 9 pagi dalam suasana harmoni yang dikawal pasukan keselamatan.

Calon BN Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya sebelum ini dan pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan memegang jawatan jurutera daerah.

Tengku Zaihan berkata beliau bertekad untuk mengekalkan kerusi itu di tangan BN berdasarkan peluang yang dilihatnya melalui pertandingan satu lawan satu.

"Tiada masalah untuk mendekati rakyat seperti yang biasa saya lakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai proses pencalonan.
-SH






0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.