SEBELUM PILIHANRAYA 013 SPR KATA DAFTAR PEMILIH DAH SIAP, BERSIH, PAS TU LA NI AKAN ADA PULA JAWATANKUASA UNTUK BERSIHKAN DAFTAR PEMILIH, SELEPAS PRU 12 SPR APA KERJA ? HANGPA APA BUAT ? MAIN TELO KE ? Pak Karamu
SPR tubuh jawatankuasa bersihkan daftar pemilih, laporan pertama bulan ini
Oleh Hasbullah Awang Chik
July 15, 2013
July 15, 2013
Selepas Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat (PR) berkali-kali
mendesak pembersihan daftar pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
akhirnya memberitahu satu jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk
membersihkan daftar pemilih yang dikatakan tercemar dan menjadi punca
Barisan Nasional (BN) terus berkuasa selepas Pilihan Raya 2013.
Menurut Datuk Wan Ahmad Wan Omar SPR kini sedang mengemaskini daftar
pemilih bagi memastikan ianya bersih untuk digunakan pada pilihan raya
akan datang.
"Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-13
(PRU13) lalu, termasuk pada bulan Ramadan berusaha keras bagi
mengemaskini daftar undi dan ini merupakan satu urusan berterusan," kata
Wan Ahmad apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.
“Menjadi keutamaan penting SPR bagi meneliti semula daftar pemilih
yang dikatakan telah menimbulkan masalah oleh pihak tertentu. Pegawai
SPR dari segenap negeri berganding bahu bagi mengemaskini daftar pemilih
berkenaan dan dijangka jawatankuasa berkenaan akan mengeluarkan laporan
berkenaan pada bulan ini serta dari masa ke semasa,” tambahnya.
Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada Sabtu
mengatakan mereka akan menganjurkan Perhimpunan Bersih 4.0 jika badan
penggendali pilihan raya itu tidak berbuat apa-apa untuk membersihkan
daftar pemilih.
Wan Ahmad turut menggesa mereka yang memperlekehkan usaha SPR
menjalankan persempadanan semula agar melihat usaha berkenaan dari sudut
positif dan pemikiran yang rasional dan bukan membuat tuduhan melulu.
“Sememangnya Perlembagaan menyatakan persempadan semula perlu
dilakukan setelah lapan tahun persempadanan terakhir dan tidak memberi
tempoh akhir untuk berbuat demikian.
“Persempadanan terakhir dilakukan pada 2003 maka SPR boleh membuat
persempadanan pada 2011 namun tidak berbuat demikian kerana bagi membuat
persiapan untuk menghadapi PRU13. Adakah kita mahu persempadanan ini
dilakukan 20 tahun lagi?" soal Wan Ahmad.
Wan Ahmad turut menyelar Bersih 2.0 kerana hanya membuat tuduhan
melulu tanpa mengambil tahu apa yang SPR sedang lakukan untuk memastikan
perjalanan pilihan raya bertambah baik.
Mengulas berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Wan Ahmad menjelaskan SPR
menggunakan pendekatan untuk mencelup jari kerana terdapat kerani
pengundian pada PRU lalu yang tidak sekata dalam memcalit jari pengundi
menyebabkan dakwat berkenaan tidak tahan lama.
“Kita perlu faham PRU lalu adalah kali pertama SPR melaksanakan
penggunaan dakwat kekal jadi mungkin ada sedikit masalah yang tidak
dapat dielakkan.
“Apa yang dikesalkan adalah ada pihak yang cuba dengan
bersungguh-sungguh untuk memadamkan dakwat kekal berkenaan selepas
mengundi dengan menggunakan pencuci dan peluntur. Meskipun kami didakwa
melaksanakan langkah retrogresif (mundur) namun ada pihak yang ingin
menggunakannya, jadi itulah hasilnya,” tambah Wan Ahmad.
Berhubung peratusan nitrat perak dalam dakwat kekal pada PRK nanti,
beliau menjelaskan SPR akan memaklumkan hal berkenaan dalam satu sidang
medianya nanti beserta satu demonstrasi menunjukkan bagaimana dakwat itu
akan dicelup.
Ambiga sewaktu berucap di sebuah forum yang dianjurkan oleh Majlis
Peguam pada Sabtu tidak menolak kemungkinan satu lagi perhimpunan
besar-besaran akan dianjurkan oleh kumpulannya untuk menuntut reformasi
pilihan raya.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir pada majlis sama
berkata PR akan memfailkan saman kepada SPR berhubung penipuan yang
dilakukan oleh badan penggendali pilihan raya itu berhubung kandungan
nitrat perak yang didakwa berbeza-beza pada PRU lalu.
Nurul Izzah memberitahu SPR tidak boleh menukar kenyataan berhubung
kandungan nitrat perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus
dan kemudiannya mengumumkan dakwat kekal berkenaan hanyalah pewarna
makanan. - 15 Julai, 2013.
0 orang berkata:
Post a Comment