PRK: Che Long pernah jadi ahli Umno
Che Long (tengah) bersama Pengarah Jawatankuasa Induk Pas PRK Dun Kuala Besut, Datuk Husam Musa (kiri).
 
BESUT – Calon Pas, Endut@ Azlan Yusof mengakui pernah menjadi ahli Umno dan memegang jawatan di peringkat pemuda cawangan dalam parti itu ketika zaman muda, sebelum membuat keputusan menyertai Pas pada 1997 hingga kini.

Bagaimanapun, Azlan atau lebih mesra dengan panggilan Che Long enggan memanjangkan isu berkenaan, sebaliknya menyifatkan penyertaan itu ketika zaman ‘tidak cerdik’ dan ketika itu juga, tidak ramai penduduk di sekitar rumahnya menjadi ahli Pas.

“Tidak payah kiralah (zaman sertai Umno) kerana ketika itu orang Pas di kampung saya hanya lapan orang sahaja. Betul saya pernah sertai Umno tapi itu dulu, sekarang saya sudah sertai Pas dan ramai orang muda turut memberikan sokongan kepada saya (Pas),” katanya ketika ditemui sebaik selesai proses penamaan calon di Kompleks
Rakan Muda Daerah Besut, Kampung Raja, di sini, semalam.

Menurut Che Long lagi, sejarah penyertaannya dalam Umno juga dilihat dari sudut positif, terutamanya bagi menarik rakyat di kawasan berkenaan untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

Dalam perkembangan sama, Che Long turut berharap tidak wujud kempen menjurus ke arah serangan peribadi calon atau bersifat tohmahan, sebaliknya kedua-dua pihak perlu mengambil pendekatan ‘gentleman’.

“Kita tolak kempen berunsur peribadi, sebaliknya tumpu kepada parti, jadi saya harap kita semua (Pas dan BN) bersikap 'gentleman', apatah lagi PRK ini diadakan dalam bulan puasa, jadi tidak sepatutnya begitu.

“Bagaimanapun, saya bersedia hadapi apa sahaja tohmahan yang akan dilemparkan kepada saya sepanjang berlangsungnya kempen nanti. Janji kita tidak buat benda salah dan terserah kepada orang untuk menilai kita bagaimana," katanya.

Che Long juga turut merayu pengundi supaya memberi peluang kepada Pas menang di Dun Kuala Besut bagi memastikan lebih banyak perubahan dan pembangunan akan dilaksanakan.

Sementara itu, isteri beliau, Che Zabiah Mohammad, 44, pula berkata, dia akan sentiasa memberikan sokongan kepada suaminya itu walaupun menyedari masa bersama keluarga terhad.

“Saya boleh terima dan tiada masalah sekiranya suami sibuk serta tidak mempunyai masa bersama keluarga untuk menyambut puasa kali ini. Saya bangga dengan beliau yang berjuang untuk membantu rakyat.

“Alhamdulillah, anak-anak juga boleh menerima dan saya juga sentiasa menyokong penuh harapan suami (Che Long) untuk membantu rakyat, malah saya juga akan mengikut beliau berkempen dalam acara tertentu nanti," kata ibu enam anak ini.

Jelas Che Zabiah lagi, sebagai suri rumah, secara tidak langsung memberinya ruang untuk sentiasa membantu suami dan turut serta bertemu pengundi di Dun Kuala Besut.