Khaled Nordin
Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Perbuatan segelintir pengamal media baru khususnya ‘blogger’ menulis tanpa sempadan menerusi laman blog boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain gagal mematuhi etika kewartawanan, perbuatan itu membuktikan sikap tidak profesional dan mempunyai agenda tertentu demi mencapai hasrat serta tujuan mereka.

“Pengamal media tidak rasmi ini bijak memilih isu yang diketengahkan sesuai dengan keadaan semasa dan mereka sering menyamar hingga menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.

“Malah, tidak mustahil golongan ini digunakan oleh kumpulan, organisasi atau individu tertentu untuk mencapai hasrat dan tujuan mereka tanpa mempertimbangkan kesan buruk kepada negara,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi  negeri, Md Jais Sarday pada Majlis Iftar Ramadan
Jabatan Penerangan Johor Bersama Pengamal Media Massa, malam  kelmarin.

Mohamed Khaled berkata, pengamal media tidak rasmi itu juga sering mengetengahkan isu kononnya tiada kebebasan akhbar di negara ini di samping beranggapan media dikongkong oleh kerajaan.

“Mereka selalu membandingkan media negara ini dengan media luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Namun hakikatnya apa yang berlaku di Malaysia, kebebasan akhbar adalah terjamin.

“Dakwaan negara maju bebas dari kawalan kerajaan juga masih samar kerana akhbar atau organisasi media di negara berkenaan dikawal oleh golongan kapitalis yang menjadi ‘backbencher’ kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pengamal media tidak seharusnya berfungsi seperti blogger yang sering meletakkan kenyataan berunsur desakan dalam blog serta laman sosial yang begitu terbuka penggunaannya dalam kalangan generasi muda.

“Pengamal media bukan hanya wajib mengetengahkan apa yang benar, tetapi juga melaporkan sesuatu berita dengan penuh tanggungjawab dan keyakinan bahawa laporan adalah untuk kebaikan serta kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya,” katanya.