Penjenayah larikan kereta polis
Yusuf menunjukkan gambar suspek yang meloloskan diri menggunakan kenderaan polis.
 
TAIPING – Seorang lelaki yang berjaya ditangkap penduduk kampung berhubung beberapa kes kecurian di Kampung Pak Dollah, Kamunting, di sini berjaya meloloskan diri bersama sebuah kenderaan MPV polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, lelaki dikenali Muhamad Hafiz Saidin, 32, dikatakan bertindak mencapai stereng kenderaan sebelum menolak salah seorang anggota polis yang ketika itu mahu membawanya ke balai untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, ketika kejadian, suspek yang berasal dari Kampung Tampang, Tasek Gelugor, Pulang Pinang melarikan diri bersama kenderaan jenis MPV berwarna Perak dengan nombor pendaftaran WLR  6857, dipercayai menghala ke Utara.

Menurut beliau, pada mulanya, suspek berada dalam kepungan penduduk kerana terlibat dalam kes kecurian di sekitar kawasan itu dan polis yang menerima maklumat mengarahkan dua anggota bertugas ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Ada dalam lima penduduk kampung berkenaan telah bertindak menangkap suspek yang ketika itu sedang tidur di sebuah lori buruk di kampung terbabit.

 “Seperti prosedur biasa, anggota kita membuat pemeriksaan dan mendapati, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menyebabkan anggota kita membuat keputusan untuk membawa suspek ke balai polis berhampiran menggunakan kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, tiba di kenderaan, suspek berjaya mencapai stereng kereta lalu menolak anggota dan terus melarikan diri bersama kenderaan itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut, lelaki berkenaan didapati turut memiliki lima rekos jenayah lampau membabiykan kec necederaan, kecurian dan dadah.

Yusuf berkata, gerakan mencari suspek sudah dimulakan bersama bantuan anggota dari negeri lain.


Akui kelemahan anggota

Dalam pada itu, beliau mengakui, insiden berkenaan berlaku atas kelemahan anggota bertugas sehingga menyebabkan suspek berjaya meloloskan diri.

Menurutnya, dua anggota yang terlibat akan didakwa di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan melibatkan penjawat awam dengan cuai telah melepaskan tahan dan suspek lari dalam tahanan yang sah.

“Kita memandang serius isu seumpama itu dan akan mengambil tindakan tegas meskipun melibatkan anggota sendiri.

“Dalam kes ini, kita amat memerlukan kerjasama dan maklumat daripada orang ramai untuk membantu mengesan dan menjejak suspek.

“Jika ada sebarang maklumat boleh salurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya.