Semua tiket percuma habis!
Demi tiket percuma... Che Amirul Hafizi (kiri) dan rakannya, Ahmad Khusairi Mohd Shari gembira kerana usaha mereka berbaloi bagi menyaksikan perlawanan bola malam esok. - Foto Sinar Harian oleh MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
 
SHAH ALAM - Suasana lobi utama Kompleks Media Karangkraf pagi tadi gamat dengan kehadiran ramai peminat bola sepak yang sejak awal pagi sudah hadir bagi mendapatkan tiket percuma perlawanan Malaysia menentang Chelsea.

Hanya dalam masa sejam kesemua 400 tiket telah habis diedarkan kepada pembaca bertuah Sinar Harian.

Rata-rata yang hadir sanggup datang seawal jam 7 pagi untuk menebus tiket percuma tersebut.

Apa yang menariknya, terdapat sekumpulan anak muda yang sanggup datang dari Kuantan dengan menunggang motosikal semata-mata untuk menebus tiket percuma ini.

"Saya menunggang motosikal dari Kuantan seawal jam 5:30 pagi tadi semata-mata untuk mendapatkan tiket ini.

"Terima kasih Sinar Harian, sebab beri tiket percuma. Tidak sia-sia saya datang dari jauh," kata Ahmad Khusairi Mohd Shaari yang juga merupakan penyokong tegar Chelsea  kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Kenyataan ini turut disokong oleh rakannya, Che Amirul Hafizi yang juga sanggup bersusah payah datang dari Kuantan untuk mendapatkan tiket percuma itu.

"Saya bersama-sama Khusairi, sanggup selepas bersahur datang ke Karangkraf.

"Memang mencabar, sebab cuaca sejuk pagi-pagi, tetapi demi perlawanan 21 hari bulan ini, kami sanggup redah.

"Terima kasih Sinar Harian sebab taja tiket kami," katanya.

Sempena kunjungan Chelsea menentang Malaysia esok, Sinar Harian telah menyediakan 400 tiket percuma untuk diberikan kepada pembaca setia Sinar Harian.