Taktik susukan anak gagal
Wanita warga Indonesia dan anaknya ditemui menyorok di dalam ruang khas di rumah kongsi.
Taktik susukan anak gagal
Warga asing yang ditahan dalam serbuan menerusi Ops Sayang.

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita warga Indonesia bersama anaknya sanggup bersembunyi di dalam ruang sempit bahagian belakang rumah kongsi untuk mengelakkan dari dicekup Jabatan Imigresen Pulau Pinang, semalam.

Wanita yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu juga menyusukan anaknya supaya mendiamkan diri ketika pemeriksaan dijalankan di rumah kongsi tapak pembinaan Kampung Teluk kira-kira jam 1 pagi.

Bagaimanapun, taktiknya gagal apabila tempat persembunyiannya terbongkar selepas anggota penguat kuasa yang melakukan serbuan berjaya menemui wanita yang berusia 30-an itu bersama bayinya yang berusia setahun enam bulan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, dua beranak terbabit merupakan antara lapan warga Indonesia dan Myanmar termasuk seorang wanita yang ditahan dalam Ops Sayang.

Menurutnya, beberapa lelaki yang cuba mengelakkan dari ditahan turut bersembunyi di ruang rahsia rumah kongsi terbabit.

“Ada juga yang menyorok di bahagian bawah lantai namun berjaya ditemui selepas pemeriksaan rapi dijalankan oleh penguat kuasa yang bertugas.

“Mereka sentiasa memiliki jalan dan taktik tersendiri untuk mengelakkan dari dicekup dan kami sentiasa peka serta meneliti kawasan terbabit supaya cubaan mereka gagal,” katanya.

Terdahulu, pemeriksaan terhadap sebuah premis yang menyediakan perkhidmatan urut dan spa turut dijalankan di Jalan Raja Uda oleh pasukan yang sama pada jam 6.15 petang.

Dua penguat kuasa yang terlibat terpaksa menyamar sebagai pelanggan untuk menyiasat dan mengenal pasti akan kehadiran warga asing yang bekerja di premis terbabit.

Basri berkata, dua wanita dan seorang pondan warganegara Vietnam ditahan mengikut kesalahan 39B Peraturan Imigresen.

“Penyamaran yang dijalankan menjadi satu taktik untuk kami mengesan dan mengenal pasti warga asing yang bekerja di premis-premis seperti ini sebelum serbuan dibuat,” katanya.

Dalam operasi sama, pihaknya turut menyerbu dua premis menjalankan aktiviti perjudian komputer di Taman Pelangi pada jam 9.15 malam.

Katanya, premis terbabit pernah diserbu sebelum ini kerana menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada pelanggan.

“Premis ini menjadi tumpuan warga asing yang tinggal di flat berhampiran dan seorang lelaki dan wanita warga Indonesia turut ditahan kerana melanggar syarat dengan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Kesemua ditahan bagi membantu siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.