Mohd Nizam Mahshar
Mohd Nizam Mahshar
MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mahu kerajaan lebih telus dan tidak hanya memberi janji kosong apabila menyentuh soal perjanjian perdagangan bebas (FTA) Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar berkata, isu TPP sangat penting dan beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai tsunami ekonomi yang bakal melanda Malaysia.

“Penjelasan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) adalah penting, jangan hanya sebut ‘percayakan kami’ dan bagi jaminan kosong.Itu yang buat kita sangat takut,” kata Mohd Nizam.

Katanya, perjanjian itu bukan sahaja melibatkan soal perdagangan, tetapi turut menyentuh soal lain seperti kesihatan, alam sekitar dan perundangan.

“Apa yang kami bimbangkan adalah masih ramai orang yang keliru (mengenai TPP). Miti perlu menunjukkan kos dan manfaat yang Malaysia akan dapat, apa negara bakal perolehi dan tunjukkan juga kajian impak ekonomi terhadap perundingan yang telah dibuat. Semuanya harus jelas dan meluas.

“Kita juga minta Miti jelaskan intipati TPP, bukan hanya beri jaminan secara umum bahawa perjanjian itu bagus, Miti perlu datang kepada pemain industri, jelaskan,” katanya.

Menurut Mohd Nizam, kebimbangan itu lebih menebal apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mahu rundingan TPP selesai menjelang Oktober depan.

“Kami difahamkan daripada 29 bab dalam TPP, 14 secara teknikalnya telah dimuktamadkan.

“Bagaimana Miti masih komited dengan sasaran (waktu) itu dan masih mahu berbincang dengan pemain industri? “ soalnya.

MTEM adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili lebih 100 NGO lain dalam menentang kerahsiaan melampau rundingan TPP.

MTEM sebelum ini mendesak kerajaan menarik diri daripada rundingan itu yang dikhuatiri memberi impak negatif kepada ekonomi, sosial dan kedaulatan negara termasuk mengubah dasar industri kecil dan sederhana, harta intelek serta meningkatkan kos perubatan.

Mohd Nizam juga sebelum ini berkata, TPP adalah satu bentuk penjajahan ekonomi yang bakal memberi kesan buruk kepada setiap rakyat negara ini.

Selain Malaysia dan AS, negara terlibat dalam rundingan TPP adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.