• Analisis Berita
1 / 1
SHAH ALAM –  Kedudukan Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan posisi timbalan presiden pada Pemilihan PKR Mei ini, dijangka tergugat susulan kebangkitan golongan muda.

Penganalisis politik berpendapat, salah satu faktor yang mempengaruhi sokongan Azmin adalah golongan muda dalam PKR, mungkin tidak menyokong perjuangannya seratus peratus.

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, dalam  politik moden, ahli muda dalam parti memberi kesan besar kepada jatuh bangun pemimpin, meskipun individu itu berpengalaman dan disokong pemimpin utama.

Katanya, tidak dinafikan pengaruh Azmin kuat, paling senior dalam PKR dan sangat rapat dengan pemimpin utama parti.

“Tetapi dalam hal politik moden, tidak dapat lari daripada arus gerakan golongan muda yang mahu  pemimpin muda diangkat dalam struktur kepimpinan parti. Ini kerana, PKR juga membuka ruang kepada pemimpin muda, seperti Nurul Izzah Anwar dan Rafizi
Ramli yang dilihat berupaya memimpin,” katanya.

Sementara itu, Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berpendapat agak sukar untuk Azmin mengekalkan jawatannya kali ini.

“Perlawanan ini melibatkan tiga penjuru antara Abdul Khalid dan Saifuddin menyebabkan berlaku pecahan undi,” katanya.

Azmi mengakui Saifuddin mampu menang kerana beliau mempunyai sokongan kuat daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan imej bersihnya.