Karpal Singh : Perginya Seorang Tokoh Politik Yang Berprinsip
- Published on Thursday, 17 April 2014 14:46
- Written by NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Saya rakamkan takziah kepada keluarga
Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang telah
meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian
beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana
beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat
pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan
Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan
negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip
perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau
awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat
dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu
kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi
roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan
yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan
kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di
dalam Pakatan Rakyat.
Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang
yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan
terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini,
jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam
Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai
jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis
di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya
membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.
Dalam kehangatan dunia politik pada hari
ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan
bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud
dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh
tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin,
individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang
undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak
undang-undang hudud.
Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar
surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang
menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar
berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat
memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk
pergi yang tidak akan kembali.
Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
0 orang berkata:
Post a Comment