• Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
1 / 1
SHAH ALAM - Pemilihan PKR bagi jawatan presiden bakal menimbulkan kekeliruan kepada ahli parti sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terus bertanding.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, persaingan suami isteri itu bakal mengundang perspektif negatif jangka pendek daripada ahli PKR.

“Bagi ahli di peringkat akar umbi mereka tahu apa yang dirancang oleh ketua mereka tetapi bagaimana pula dengan ahli biasa yang tidak mengikuti perkembangan secara mendalam parti berkenaan.

“Tetapi sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding bagi jawatan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, jika salah seorang daripada mereka menarik diri, kemungkinan besar individu tersebut adalah Wan Azizah.

“Secara logiknya, seorang isteri sentiasa mendahulukan suaminya dalam apa jua hal dan dalam pemilihan ini Wan Azizah bakal memberi laluan kepada Anwar.

“Apa yang saya perhatikan persaingan suami isteri ini sebenarnya merupakan satu strategi demi kebaikan parti,” katanya.

Mengulas mengenai perebutan jawatan Presiden PKR, Nik Ahmad Kamal menyifatkan buat masa ini tiada keperluan selain ingin mengelakkan konflik dalam kalangan pucuk pimpinan sedia ada.

“Dilihat daripada kestabilan dan kemantapan parti PKR, saya rasa kebanyakan pucuk pimpinan hanya menumpukan matlamat utama parti iaitu mentadbir negara Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mengesahkan jawatan presiden parti itu kekal ditandingi   Wan Azizah dan Anwar  pada pemilihan kali ini.

Difahamkan, Wan Azizah adalah plan B sekiranya Anwar menarik diri apabila keputusan kes mahkamahnya telah diputuskan yang  menjejaskan peluangnya menjawat jawatan dalam parti politik.