• Lim Kit Siang Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
1 / 1
SHAH ALAM – PR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan mesyuarat tergempar Parlimen sebelum Mei depan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai tragedi MH370 berikutan perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada ahli Dewan Rakyat secara rasmi.

Ketua DAP Parlimen, Lim Kit Siang menegaskan jawatankuasa itu mestilah diketuai oleh ahli parlimen pembangkang dengan terma dan rujukan yang komprehensif supaya rasa tidak puas hati ahli keluarga penumpang MH370 dapat dikurangkan.


“Saya menggesa perdana menteri memanggil mesyuarat tergempar Parlimen sebelum Mei untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas yang dikepalai pembangkang berkenaan MH370.


“Dengan langkah itu kita berhadap dapat mengurangkan rasa tidak puas hati bukan sahaja di kalangan ahli keluarga penumpang bahkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terhadap kelemahan kerajaan Malaysia mengendalikan tragedi tersebut,” katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Ahli Parlimen DAP-Seremban, Anthony Loke Siew Fook minggu lalu yang mencadangkan satu usul agar PSC ditubuhkan bagi menyiasat semua aspek berhubung kehilangan pesawat MH370.


Usul tersebut dicadangkan sebagai pindaan ke dalam usul menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad baru-baru ini di bawah peraturan mesyuarat 26 (1) (a) dan perkara 30 (1).


Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah, kerajaan Malaysia perlu menghantar mesej yang jelas kepada pihak berkepentingan bahawa ia bersedia untuk menghadapi siasatan penuh ke atas semua aspek bencana yang menimpa pesawat MH370.


“Tiada apa lagi yang perlu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia, dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin tidak harus terlibat lagi dalam siasatan insiden itu sebaliknya beliau perlu menyokong PSC tersebut,” katanya lagi.