• Najib, Anwar ucap takziah
1 / 2
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang maut dalam kemalangan di kilometer 301.6, Gua Tempurung pada awal pagi tadi.

Menurut Perdana Menteri, beliau baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Turki ketika dimaklumkan berita itu.

"Saya baru sahaja mendarat di Ankara apabila diberitahu tentang berita Karpal maut dalam kemalangan jalan raya.

"Saya ucapkan takziah buat keluarganya," katanya yang dipetik menerusi laman Twitter.

Menurut Anwar pula, dia berasa sedih dan terkilan di atas kehilangan seorang rakan yang selama ini berjuang bersama dengannya dalam dunia politik.

"Kami kehilangan sahabat, pejuang gigih keadilan. Kami berbicara panjang menerusi panggilan telefon pada jam 6.30 petang semalam.

"Takziah buat keluarga," kata Anwar menerusi laman Twitter.

Karpal maut apabila sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung pada jam 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, MPV Toyota Alphard yang dinaiki Karpal bersama beberapa yang lain dilaporkan telah merempuh belakang lori yang cuba menukar haluan.

Rempuhan telah mengakibatkan kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk.