• Najib Tun Razak Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
1 / 1
HANOI - VIETNAM. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasmi sulung ke Vietnam sebagai berjaya selepas pelbagai persetujuan dicapai dengan rakan sejawatnya terutama dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Katanya persetujuan itu dilihat akan membawa implikasi besar apabila Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kepada perkongsian strategik. 

"Kedua-dua menteri luar dari Malaysia dan Vietnam akan memperincikan lagi elemen-elemen dalam perkongsian strategik ini sebelum ia dipersetujui. 

"Selepas menandatangani perkongsian strategik ini, ia akan memberi hala tuju yang lebih jelas tentang bidang-bidang yang harus diberikan keutamaan nanti," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain industri tempatan dan Malaysia di sini, hari ini. 

Najib hari ini menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam.  Perdana Menteri yang tiba di sini pada Khamis selepas menempuh perjalanan lebih lapan jam penerbangan dari Perth, Australia disambut secara rasmi semalam di Istana Presiden dan mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Nguyen Tan Dung di Pejabat Perdana Menteri Vietnam.

Kunjungan itu disusuli mesyuarat dua hala bagi berbincang dan saling bertukar pendapat mengenai pelbagai isu dua hala dan perkembangan antarabangsa yang penting buat Malaysia dan Vietnam.

Perdana Menteri berkata hasil pertemuan dan mesyuarat bersama rakan sejawatnya itu, banyak perkara telah dicapai dan dipersetujui terutama berkaitan peningkatan hubungan sedia ada dan meningkatkan jumlah dagangan kedua-dua negara.

Katanya kedua-dua negara kini bersetuju untuk mengembangkan pelaburan dan perdagangan serta menyasarkan nilai dagangan sebanyak US$11 bilion menjelang 2015, berbanding nilai semasa iaitu sekitar US$9 bilion. 

"Kedua-dua negara juga bersetuju meluaskan kerjasama dua hala meliputi bidang pertanian dengan memorandum persefahaman (berkaitan kerjasama bidang pertanian) telah ditandatangani," katanya.

Najib berkata, persetujuan turut dicapai dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang perbankan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan keselamatan, kerjasama dalam industri minyak dan gas serta soal tenaga kerja Vietnam di Malaysia. 

Katanya dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya semalam, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Vietnam di atas bantuan yang dihulurkan negara itu dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370. 

"Saya juga telah melahirkan penghargaan atas sokongan Vietnam dalam pencalonan Malaysia untuk kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi penggal 2015-2016," katanya. 

Ditanya mengenai kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam Truong Tan Sang dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong, Najib berkata kedua-dua pemimpin itu sangat mengalu-alukan kedatangannya.

Katanya, mereka juga menyatakan Malaysia dilihat sebagai model kepada Vietnam dalam beberapa aspek dan mengharapkan agar kerjasama kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan. - Bernama