• Suami ketuai konvoi Pas punca cikgu ditukar Ahmad Marzuk bersama Tian Chua menerima memorandum bantahan daripada SAMM mengenai pertukaran guru oleh PPD Bachok.
1 / 1
KUALA LUMPUR -  Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, hari ini mendakwa bahawa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok telah membuat pertukaran guru dari daerah tersebut secara tidak profesional dan bermotif politik.

Tian Chua berkata, seramai 10 guru telah ditukar selepas PRU13 yang lalu atas sebab mereka didapati menyokong parti pembangkang.

"Merujuk kepada dokumen yang dilampirkan, alasan-alasan yang dinyatakan adalah jelas berunsurkan fahaman politik.

"Antaranya ialah seorang guru itu didapati menzahirkan secara terang-terangan kibar bendera pembangkang.

"Suami sokong Pas, tidak sokong Umno, serta suami ketuai  konvoi kereta Pas,itu antara alasan kenapa guru tersebut ditukarkan.

"Bagi saya, ini  penganaiyaan, secara dalaman kita dapat dokumen tersebut,dan cadangan tersebut dicadangkan oleh ketua cawangan Umno.

"Jadi ini campur tangan politik dalam pendidikan," katanya di Parlimen hari ini.

Oleh itu, Tian Chua berharap Kementerian Pendidikan menjawab mengenai isu ini, bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak dicampuri urusan politik.

"Kita sangat terkejut mengenai perkara itu,iaitu  campur tangan politik sangat mendalam dalam isu ini.

"Jadi kami hendak menteri pendidikan jawab, apakah benar, kalau benar perlu cakap punca pindah tersebut," katanya.

Sebelum itu, beliau bersama ahli Parlimen pembangkang yang lain menerima memorandum bantahan daripada Solidariti Anak Muda Malaysia ( SAMM) berhubung pertukaran guru secara besar-besaran oleh PPD  Bachok selepas PRU13 di lobi Parlimen.

SAMM yang diketuai oleh, Badrul Hisham Shahri atau lebih dikenali Cikgu Bard berkata,  pihaknya mempunyai bukti lain termasuk rakaman suara seorang pegawai PPD yang terlibat.

"Jika tiada tindakan daripada pihak kementerian , kami tidak teragak-agak untuk dedahkan lebih banyak bukti," katanya.