• Mohd Amar Nik Abdullah
1 / 1
TANAH MERAH - Kerajaan negeri akan memberi penjelasan kepada semua wakil rakyat mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sebelum usul pelaksanaan rang undang-undang persendirian itu dibentangkan di Parlimen.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, penjelasan akan dibuat terutama kepada pimpinan Pas, PKR dan DAP serta semua wakil rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, jawatan kuasa teknikal yang baru bermesyuarat Rabu lalu terlebih dahulu akan memberi maklum balas mengenai draf rang undang-undang itu kepada Exco kerajaan negeri, esok.

“Bila semua Exco bersetuju, barulah kita akan proses tindakan susulan termasuk penjelasan kepada semua wakil rakyat dan mungkin juga kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran dan Jamuan Rakyat sempena lawatan kerja ke Jajahan Tanah Merah di Masjid Mukim Gual Ipoh, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, yang juga Adun Bukit Panau dan Ketua Jajahan, Dr Che Hamat Che Muda.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed agar Pas mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam bagi menjelaskan secara terperinci tentang usul itu.

Katanya, penjelasan itu perlu agar semua pihak memahami hudud yang terkandung dalam rang undang-undang itu serta pelaksanaannya tidak menimbulkan pelbagai polemik dan mencetuskan konflik dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Mohd Amar memaklumkan, pihaknya masih berpegang kepada sasaran awal untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

“Draf sudah siap cuma kita sekarang menunggu ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan parti di peringkat Pusat,” katanya apabila ditanya kemungkinan usul itu dibentangkan lebih awal.