Pas bakal hadapi kesukaran
MUAR - Pas bakal berdepan kesukaran dalam melaksanakan hukum hudud di
Kelantan kerana dijangka ditentang DAP dan PKR yang tidak mahu berganjak
daripada keputusan mereka menolak pelaksanaan hukum itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim
berkata, Pas perlu mendapatkan sokongan 40 Ahli Parlimen bukan Islam
termasuk DAP dan PKR agar persetujuan dua pertiga di Dewan Rakyat
diperoleh bagi melaksanakan hukum itu di Kelantan.
Beliau berkata, 30 Ahli Parlimen Pas dan 79 Ahli Parlimen Umno ketika
ini masih belum cukup kerana untuk mendapat majoriti dua pertiga
memerlukan 148 undi.
"Perkara ini bukan soal kaum atau agama tetapi pelaksanaannya
memerlukan persetujuan semua kaum. Kalau Pas masih mendapat bantahan DAP
dan PKR, maka masalah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya
selepas merasmikan bangunan baru, Hari Keusahawan dan Anugerah Pelajar
Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar di
sini, petang semalam.
Sebelum ini kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu
dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum
Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen
Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.
Keputusan itu merupakan susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan yang
memberi laluan kepada mana-mana negeri bagi menguatkuasakan Hukum Hudud
di negeri masing-masing.
Bagaimanapun, DAP menerusi Penasihatnya Lim Kit Siang, Ketua
Publisitinya Tony Pua serta Naib Presiden PKR N.Surendran memberi
peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi
kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan
usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.
Razali berkata, Pas seharusnya bertegas dengan pendiriannya di samping
mencari jalan untuk mendapat persetujuan sekutunya kerana sebelum ini
mendakwa parti itu sudah dapat 'meyakinkan' DAP tentang ajaran Islam.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, sokongan daripada Ahli
Parlimen PKR yang beragama Islam tidak ramai untuk Pas memperoleh
sokongan dua pertiga apatah lagi mereka berfikiran liberal, maka
sokongan anggota Parlimen bukan Islam diperlukan.
Razali juga berkata, beliau yakin semua wakil rakyat Umno akan memberi
sokongan dan Pas perlu bersedia sepenuhnya daripada semua aspek sebelum
melaksanaka hukum hudud, kerana perkara itu turut melibatkan beberapa
peraturan dan pindaan undang-undang. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment